Perlis, 13 September 2024: Khutbah Jumaat di seluruh Negeri Perlis mengetengahkan isu penting mengenai kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya, bukan Tuhan yang disembah. Bersempena dengan bulan Rabiul Awwal, yang turut dikenali sebagai “Bulan Pendidikan Sirah Rasul SAW,” Jabatan Mufti Negeri Perlis mengambil inisiatif melancarkan program pendidikan khusus untuk masyarakat umum berkenaan kenabian.
Dalam khutbah tersebut, ditekankan bahawa Ahli Sunnah beriktikad bahawa pada diri baginda Nabi Muhammad SAW terhimpun dua ciri utama, iaitu sebagai hamba Allah (al-‘Ubudiyyah) dan rasul yang diutuskan (al-Risalah). Umat Islam diwajibkan beriktikad bahawa Muhammad bin Abdullah adalah hamba pilihan Allah yang diangkat menjadi rasul bagi menyampaikan perintah-Nya kepada manusia dan jin.
Umat Islam turut diingatkan agar tidak menyamakan Nabi Muhammad SAW dengan Allah. Baginda bukanlah Tuhan yang disembah, dan kita tidak berdoa kepada Muhammad, sebaliknya hanya memohon kepada Allah. Ini menjadi asas penting dalam akidah agar umat Islam tidak terjerumus dalam kesilapan menyembah selain Allah.
Penekanan turut diberikan bahawa dalam Islam, Rasulullah SAW tidak digambarkan sebagai Tuhan, berbeza dengan tokoh agama lain yang dipertuhankan oleh penganut agama mereka. Logiknya, manusia tidak mungkin diminta mencontohi sifat Tuhan atau malaikat, tetapi manusia boleh mencontohi Nabi Muhammad SAW kerana baginda memiliki sifat-sifat manusia yang wajar diikuti. Nabi Muhammad SAW hidup sebagai manusia yang mengalami sakit, cedera, makan, minum, dan berkeluarga dan sebagainya yang menjadikan sunnah baginda sesuai dicontohi dalam kehidupan manusia.
Mimbar Jumaat hari ini juga menyeru agar umat Islam terus beriman dan menyakini Nabi Muhammad SAW sebagai hamba Allah dan pesuruh-Nya, yang diutuskan dengan wahyu untuk membimbing umat manusia.