• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Berkaitan Pelaksanaan Solat Aidilfitri 1445H / 2024M

Titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Berkaitan Pelaksanaan Solat Aidilfitri 1445H / 2024M
TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU RAJA MUDA PERLIS TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELAKSANAAN SOLAT AIDILFITRI 1445H / 2024M
 
Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah Azza Wajalla, kita masih dapat melaksanakan amal ibadah di penghujung Bulan Ramadan Mubarak pada tahun ini. Menjelang ketibaan Syawal yang bakal menjelma, maka sukacita dihebahkan makluman berkaitan Pelaksanaan Solat Aidilfitri 1445H / 2024M seperti ketetapan berikut:
 
1- Solat Aidilfitri di seluruh Negeri Perlis DIGALAKKAN untuk dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan bermula pada jam 7.45 pagi sehingga jam 8.15 pagi bergantung kepada keputusan yang dipilih oleh Jawatankuasa Kariah Masing-masing. Setiap Jawatankuasa Kariah hendaklah memastikan agar hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih, dilaksanakan sebaiknya untuk penyelarasan kepada Ahli Kariah.
Pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada KETETAPAN oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW.
 
2- Walaubagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.
 
3- Bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam Negeri Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
 
4- Dalam keadaan cuaca buruk atau tidak sesuai, Solat Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada jam 8.15 pagi. Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada jam 7.45 pagi.
 
5- Bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau seperti ketetapan masa di atas. Sekiranya keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, Solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.
 
6- Pengurusan Masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.
 
7- Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Aidilfitri, sila hubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di Laman facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
 
HARAPAN DAN NASIHAT
 
Besarlah harapan saya agar segala ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini sentiasa dijunjung tinggi, dan dipatuhi oleh seluruh rakyat yang saya kasihi.
 
Selain itu, saya turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidilfitri ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan istighfar serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai mezahirkan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua.
 
Di kesempatan ini, saya turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs (1920): MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis

Bertarikh : 8 April 2024 bersamaan 28 Ramadan 1445H

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1356
Semalam 2772
Minggu Ini 13798
Bulan Ini 41680

Keseluruhan 2531973

   Masa Capaian : 0.79 saat    Kemaskini :  15/5/2024