Oleh : Wafiq Desa 21 Mac 2024 Gambar : Zulfahmi Abd Samad
Kangar, Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menganjurkan Seminar al Quran: Sejarah Perkembangan Ilmu Qiraat yang berlangsung di Masjid Alwi, Kangar Perlis.
Seminar Al-Quran ini merupakan program tahunan dan telah kali kedua dianjurkan. Seminar tahun ini, bertemakan ilmu qiraat bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang ilmu 'qiraat' atau kaedah bacaan-bacaan al Quran yang diriwayatkan sehingga kepada Rasulullah SAW.
Forum Perdana bertajuk Prinsip-Prinsip Asas Ilmu Qiraat yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr Sedek Ariffin, Pensyarah Kanan Jabatan Al Quran & Hadith Universiti Malaya dan Dr. Mohamad Hazli, Pensyarah Kanan Kuliah Usuluddin, Sains Al Quran Dan Bahasa Arab UniSHAMS menjadi pengisian utama program ini.
Seramai kira-kira 250 orang peserta yang kebanyakannya terdiri dari pelajar KUIPs dan orang awam menghadiri seminar ini. Rata-rata peserta menyatakan keterujaan mereka menghadiri seminar ini kerana ilmu qiraat ini jarang sekali diperbahaskan dalam seminar-seminar rasmi.
Salah seorang peserta yang hadir, Cik Zaida Binti Safri menyatakan, beliau berasa sangat beruntung kerana dapat mengikuti seminar kali ini dan dapat mendengar pelbagai cara dan jalan bacaan al Quran yang jarang didedahkan kepada masyarakat awam.
YAB Tuan Mohd Shukri Bin Ramli, Menteri Besar Perlis, dalam ucapan perasmiannya berharap agar seminar Al-Quran sebegini dapat diteruskan dan mendapat sokongan serta dokongan penuh dari semua pihak dalam usaha melahirkan generasi al-Quran yang berpegang teguh dan menghayati al-Quran al-Karim di Negeri Perlis. Turut hadir, YB Ustaz Muhammad Azmir bin Azizan, Exco Hal Ehwal Agama Negeri Perlis.
Kemuncak acara, menyaksikan majlis pengijazahan bacaan Surah Al Fatihah dengan jalan qiraat tujuh kepada para peserta oleh Dr. Amil Adil Eldib, Pensyarah Jabatan al Quran Wa Ulumihi, KUIPs.
Ucaptama seminar telah disampaikan oleh Tuan Haji Tajul Urus bin Abdul Halim, Timbalan Mufti Negeri Perlis.