Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis MAIPs telah menganjurkan Simposium Guru Agama Dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2023. Simposium ini telah diadakan pada 2 November 2023 (Khamis) bertempat di Dewan Warisan Kangar Perlis.
Antara tujuan utama simposium ini untuk menganugerahkan tauliah pengajaran Agama Islam kepada semua guru-guru agama yang telah berjaya di dalam temuduga. Hal ini menunjukkan bahawa setiap penceramah yang ingin mengajar di dalam negeri ini perlu memiliki tauliah dan kebenaran dari Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Simposium Guru Agama Dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis ini telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Program ini juga merupakan salah satu wadah untuk menjadikan Negeri Perlis sebagai pusat penyebaran ilmu yang berteraskan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan sumbangan ilmu kearah pemantapan jati diri muslim.
Program ini juga turut diisikan dengan pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Prof. Dr. Muhammad Rozaimi Bin Ramle yang bertajuk Pedagogi Pengajaran Dalam Menyampaikan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah Di Negeri Perlis.
YBhg. Dato SS. Mufti Negeri Perlis juga turut mengisi slot Bedah Buku - Kitab Zadul Mustaqniq yang dimoderatorkan oleh YBhg. Ustaz Mohd Rizal Bin Azizan. Tuanku DYTM Raja Muda turut berkenan untuk bersama menyaksikan slot tersebut.
Tuanku DYTM Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua MAIPs turut berkenaan melancarkan buku Pembersihan Jiwa Menerusi al-Quran Dan al-Sunnah dan melancarkan Kempen Hayya Ala-Solah. Seterusnya Tuanku DYTM telah berkenan untuk mengurniakan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2023 kepada seramai 25 orang guru agama yang terpilih.
Turut hadir dalam program ini adalah YB Tuan Muhammad Azmir Bin Azizan selaku Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Belia dan Sukan, Pembangunan Sumber Manusia, Penerangan serta Badan Bukan Kerajaan.
Program ini juga telah dijalankan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Pro Media Tajdid dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Seramai hampir 500 orang hadir dalam program tersebut.