FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PERINCIAN SOP PENGIMARAHAN AIDILFITRI 1442H / 2021M SERTA PELAKSANAAN IBADAH BERKAITAN DI NEGERI PERLIS EKORAN PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) BERKUATKUASA 12 MEI 2021
 
Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara serta merujuk kepada SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan Aktiviti Keagamaan yang mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri, sayugia dihebahkan PERINCIAN SOP Pengimarahan Aidilfitri 1442H / 2021M serta pelaksanaan ibadah berkaitan  di Negeri Perlis ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 12 Mei 2021 hingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan, seperti ketetapan berikut:
 
A- Pelaksanaan Solat Aidilfitri
 
1- Solat Aidilfitri di seluruh Negeri Perlis KEKAL dilaksanakan di tanah lapang (musolla) pada jam 8.00 pagi. Tanah lapang berkenaan adalah di perkarangan masjid, tertakluk kepada KETETAPAN oleh Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh Negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup. 
2- Bilangan jemaah yang dibenarkan adalah mengikut kapasiti tanah lapang yang dipilih.
3- Sekiranya keadaan cuaca yang tidak bersesuaian seperti hujan lebat, maka solat akan dilaksanakan di dalam masjid dengan kapasiti masjid mengikut SOP sedia ada pada jam 8.30 pagi. Jemaah yang tidak terpilih menyertai solat berkenaan perlu mengalami penyuraian dan pulang untuk menunaikan Solat Aidilfitri di rumah masing-masing bersama ahli keluarga selaras dengan ketetapan dan risalah khutbah yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis.
4- Tempoh pelaksanaan Solat Aidilfitri dan Khutbah adalah diringkaskan bagi mengurangkan risiko penularan. Selaras dengan ketetapan syarak, sebahagian jemaah BOLEH terus pulang ke rumah selepas menunaikan Solat Aidilfitri TANPA perlu mendengar khutbah. 
5- Pelaksanaan Solat Aidilfitri di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama KEKAL tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta demi penyelarasan oleh pihak-pihak berkaitan.
 
B- SOP Kehadiran dan penyertaan jemaah
 
6- Sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP adalah DIPERKETATKAN. Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti berikut:
a. Memakai pelitup separuh muka;
b. Sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter pada setiap masa;
c. Membawa sejadah sendiri bersaiz standard;
d. Mengambil wuduk sebelum ke tempat solat; 
e. Tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman;
f. Melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR MySejahtera / mendaftar pada buku).
7- Warganegara dan bukan warganegara, lelaki dan perempuan adalah dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengimarahan Aidilfitri kecuali mereka yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.  DITEGAH sama sekali mereka yang telah merentas sempadan ke Perlis dan golongan bergejala untuk menyertai Solat Aidilfitri serta semua aktiviti pengimarahan. Demikian keluarga yang tinggal serumah dengan mereka yang merentas sempadan turut DILARANG.
8- Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP. 
9- Para jemaah digalakkan untuk membawa Uncang pembungkus kasut dan  payung ke tempat solat selaras dengan Titah Perutusan terdahulu [MAIPs. 100 - 6 Jld 7 (102)].
 
C- Pelaksanaan Solat 5 Waktu dan Jumaat
 
10- Bagi solat fardu 5 waktu dan Solat Jumaat, bilangan jemaah yang diputuskan adalah diselaraskan mengikut kapasiti masjid.
11- Segala SOP Keselamatan dan Kesihatan pada para 7 dan 8 di atas hendaklah sentiasa dipatuhi oleh semua pihak.
 
D- Aktiviti lain yang berkaitan
 
12- Setelah menilai semula suasana dan keadaan semasa, aktiviti ziarah kubur yang sebelum ini diizinkan, tidak lagi dibenarkan.
 
13- Jamuan Aidilfitri di tempat solat KEKAL boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus (tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna) untuk dibawa pulang sahaja. 
 
14- Solat jenazah dan pengurusannya boleh dilaksanakan di masjid-masjid dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. 
 
15- Akad nikah hendaklah dilaksanakan di rumah-rumah atau premis persendirian sahaja dengan pematuhan SOP, bukan di masjid, surau atau dewan orang ramai.
 
16- Aktiviti kelas, pengajian dan sebagainya tidak dapat dibenarkan buat masa ini, walaubagaimanapun seluruh rakyat masih boleh meneruskan pengajian secara dalam talian / maya, antaranya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis. 
 
Peringatan 
 
Sekiranya terdapat Pengurusan Masjid yang gagal mematuhi SOP yang berkuatkuasa, maka segala aktiviti di premis tersebut akan dikaji semula / ditarik balik demi memutuskan rantaian penularan.
 
Harapan
 
Sesungguhnya DYMM Tuanku Raja Perlis selaku Raja Pemerintah di Negeri Perlis Tercinta sentiasa menjunjung tinggi urusan berkaitan Agama Islam. Baginda sentiasa melihat dengan penuh perhatian, mendengar dengan penuh cermat, dan berfikir dengan penuh hikmah sebelum menzahirkan sesuatu titah untuk dilaksanakan oleh sekalian rakyat jelata. Justeru, hendaklah setiap rakyat menunjukkan taat setia dengan mematuhi segala ketetapan dan limpah kurnia Baginda seperti terkandung dalam titah perutusan ini.
 
Baginda mengingatkan seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidilfitri ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan istighfar serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua.
 
Di kesempatan ini, saya turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis kepada seluruh rakyat yang Baginda kasihi, agar sentiasa bersatu hati dalam memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19. Baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442H’. 
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
 
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
 
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 12 Mei 2021 bersamaan 30 Ramadan 1442H
 
3d8da32d 5912 442d 83a6 b4eab14926fabdb7d788 fd18 4b27 a762 1fa4e237e2c1ee04a27f d679 479c 8c13 029b31ded682