FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PENGIMARAHAN MASJID DAN PERKARA BERKAITAN SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP 2.0) 
YANG DILANJUTKAN SEHINGGA 18 FEBRUARI 2021
 
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, sukacita dimaklumkan bahawa Baginda menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah SWT atas perkembangan semasa penurunan kes yang direkodkan di negeri Perlis tercinta. Baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis tidak putus berdoa, agar seluruh rakyat yang Baginda berdua kasihi sentiasa dikurniakan ketabahan dan kemudahan dalam menghadapi ujian ini. 
 
Sayugia dihebahkan kepada semua bahawa, Baginda turut berkenan menitahkan beberapa perkara bersangkutan pengimarahan masjid di seluruh negeri Perlis serta perkara-perkara berkaitan seperti berikut:
 
KELONGGARAN SYARAT PENJARAKAN FIZIKAL 2 METER KEPADA 1 METER SAHAJA DENGAN KEBENARAN HADIR BILANGAN JEMAAH MAKSIMUM MENGIKUT SAIZ MASJID
 
1. Melihat perkembangan positif pematuhan SOP selama ini, adalah diperkenankan kelonggaran penjarakan fizikal 2 meter kepada sekurang-kurangnya 1 meter dengan kebenaran hadir bilangan jemaah berkapasiti maksimum mengikut saiz masjid.
 
2. Kebenaran ini terpakai di SEMUA MASJID seluruh negeri Perlis SAHAJA dan turut diperluaskan di SURAU ASRAMA seperti titah perutusan terdahulu [MAIPs. 100 – 6 Jld 7 (95)] dan [MAIPs. 100 – 6 Jld 7 (96)]. Pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis masih tidak dapat diizinkan.
PEMATUHAN SEPENUHNYA SOP KESIHATAN DAN KESELAMATAN
 
3. Pada setiap masa, para jemaah adalah WAJIB untuk mematuhi sepenuhnya SOP kesihatan dan keselamatan seperti memakai pelitup separuh muka, melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal, serta melaksanakan penjejakan sosial (mengimbas Kod QR MySejahtera / mendaftar pada buku), memendekkan tempoh berkumpul, selain disyaratkan sihat tubuh badan.
 
4. Sebagai ikhtiar dan usaha untuk mengurangkan risiko, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema adalah tidak dibenarkan hadir. Begitu juga mereka yang berisiko kerana mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya termasuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun juga tidak dibenarkan hadir. Juga disyaratkan bukan daripada golongan berisiko menularkan seperti kontak rapat atau yang terlibat dengan kuarantin di rumah sama ada Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau Individu Dalam Pemerhatian (PUS). 
 
5. Usahlah bersikap pentingkan diri dan tidak berfikir panjang, sebaliknya tingkatkan kesyukuran atas nikmat dan kemudahan yang telah dikurniakan. Oleh itu, dinasihatkan kepada seluruh rakyat, untuk sentiasa jujur pada diri sendiri dalam memastikan segala SOP kesihatan dan keselamatan sentiasa dipatuhi.
 
PELAKSANAAN SOLAT JUMAAT DAN SOLAT FARDU 5 WAKTU
 
6. Selain pematuhan terhadap SOP di atas, kehadiran menunaikan Solat Jumaat dan Fardu 5 Waktu hendaklah terdiri daripada kalangan ANAK KARIAH atau PETUGAS DALAM KARIAH SAHAJA. Individu yang baru pulang dari kawasan luar atau melakukan aktiviti rentas sempadan walaupun yang melaksanakan tugas kerja harian termasuk keluarga atau mereka yang tinggal di rumah yang sama dengan mereka adalah tidak dibenarkan hadir dalam tempoh aktif penularan. Demikian juga warganegara asing yang bukan anak kariah turut dilarang hadir.
 
7. Tempoh masa bermula azan hingga selesai Solat Jumaat adalah 15 minit sahaja manakala tempoh sama bermula iqamah dan waktu bersurai bagi solat fardu 5 waktu dengan digalakkan kehadiran jemaah ketika azan dikumandangkan. 
 
PELAKSANAAN PENGAJARAN AGAMA DI MASJID
 
8. Memahami akan keperluan untuk meneruskan pengajaran agama di masjid, adalah dibenarkan untuk pelaksanaan “Durus Al-Quran” SAHAJA pada setiap kali selepas Solat Subuh.
 
9. Adalah dicadangkan bacaan dan terjemahan Al-Quran “Durus Al-Quran” dilaksanakan hanya sekitar separuh muka surat dengan mengambil kira kadar masa 15 minit tempoh maksimum berada dalam masjid.
 
10. Walaupun kelas, pengajian dan sebagainya masih tidak dapat dibenarkan buat masa ini, seluruh rakyat masih boleh meneruskan pengajian secara dalam talian / maya, antaranya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis. 
 
AKAD NIKAH DI MASJID
 
11. Akad nikah boleh dilaksanakan di anjung atau dewan masjid dengan menjaga SOP kesihatan dan keselamatan seperti yang dinyatakan pada para 3, 4 & 5 di atas. Tiada akad nikah dilaksanakan di ruang solat utama.
 
12. Kehadiran untuk pelaksanaan akad nikah berkenaan dihadkan kepada 6 orang berikut:
 
i. Pengantin lelaki
ii. Pengantin perempuan
iii. Wali
iv. Jurunikah / Pen. Pendaftar
v. Saksi 1
vi. Saksi 2
 
13. Tempoh masa yang dibenarkan untuk pelaksanaan akad nikah adalah tidak melebihi 15 minit termasuk khutbah nikah. 
 
14. Kenduri atau jamuan adalah tidak dibenarkan di masjid.
 
TAJHIZ JANAIZ (PENGURUSAN JENAZAH) DAN AMALAN BERKAITAN
 
15. Bagi pengurusan jenazah positif Covid-19, pelaksanaan pengurusan jenazah adalah tertakluk kepada Titah Perutusan terdahulu [MAIPs. 100 - 6 Jld 7 (79)] pada 21 Mac 2020 berkaitan pelaksanaan kaedah rukhsah.
 
16. Selain jenazah positif Covid-19, urusan memandikan dan mengkafan hendaklah dilaksanakan dengan bilangan pengurus yang minima.
 
17. Urusan Tajhiz Janaiz (Pengurusan jenazah) lain seperti solat jenazah dan pengebumian hendaklah dilaksanakan dengan pematuhan SOP kesihatan dan keselamatan yang berkaitan dengan diringkaskan tempoh pelaksanaanya.
 
18. Demikian amalan umat Islam yang lain hendaklah dilaksanakan dengan mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan serta dinasihatkan kepada semua agar mempertingkatkan kawalan kesihatan dan keselamatan kendiri seperti kerap mencuci tangan mengamalkan penjarakan fizikal dan sebagainya. 
 
TARIKH PEMAKAIAN
 
19. Segala ketetapan yang terkandung dalam Titah Perutusan ini adalah terpakai bermula Waktu Subuh pada 5 Februari 2021 (Jumaat) sehingga Waktu Isyak pada 18 Februari 2021 atau sehingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan.
 
HARAPAN, NASIHAT DAN DOA
 
Sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), besarlah harapan saya agar segala ketetapan yang telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis, sentiasa dijunjung dan dilaksanakan oleh seluruh rakyat. Sebagai ulil amri yang menggalas amanah urusan umat, Baginda sentiasa meneliti dengan cermat, mengamati dengan penuh hikmat serta memperkenankan irsyad dan nasihat. 
 
Di kesempatan ini, saya mengajak seluruh rakyat yang dikasihi, agar sentiasa memperteguhkan doa dan munajat kepada Allah Azza Wajalla supaya segala musibah dan ujian ini segera hilang. Dalam suasana seperti ini, saya turut berpesan kepada semua agar memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepadaNya atas segala khilaf dan kesalahan dalam kehidupan. Kita adalah hambaNya yang kerdil dan lemah serta amat bergantung harap kepadaNya. Laksanakanlah amalan untuk mengelak musibah dan bala seperti menggandakan sedekah dan menunaikan hak dan keadilan. 
 
Saya turut menitahkan agar Pengurusan MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis agar memperbanyakkan nasihat, hebahan dan irsyad kepada seluruh rakyat untuk mempertingkatkan taqwa kepada Allah serta melaksanakan amalan yang bertepatan dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menghadapi suasana pandemik yang melanda dunia, negara dan negeri tercinta.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
 
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
 
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 4 Februari 2021 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1442H
55ec19c2 ba0e 4b8d 925b 4d14f8ab5b84fbc186c9 fc17 4447 a8b9 1660017d5ad17b5dfcdb 7ffe 4530 a40d 7d8ffc41df02b0cad789 cfc5 4ca6 abd2 571ba66c3455