FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN KEBENARAN SEMULA KEHADIRAN MAKSIMUM JEMAAH SOLAT FARDU 5 WAKTU KETIKA TEMPOH PERGERAKAN (PKP) DISEBABKAN PENULARAN TEMPATAN WABAK COVID-19 SEHINGGA 4 FEBRUARI 2021
 
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah dipersembah maklum berkaitan situasi semasa penularan Covid-19 di Perlis yang semakin terkawal, di samping pematuhan SOP sedia ada oleh masyarakat Perlis tercinta, adalah dimaklumkan bahawa Baginda amat sukacita dengan sikap positif rakyat dan telah berkenan menitahkan perkara-perkara berikut:
 
KEHADIRAN JEMAAH MAKSIMUM MENGIKUT SAIZ MASJID BAGI SOLAT FARDU 5 WAKTU DI MASJID
 
1. Bersetuju memperkenankan kehadiran para jemaah di masjid dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula waktu Subuh pada tanggal 29 Januari sehingga waktu Isyak pada 4 Februari 2021 atau sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan. 
 
2. Kebenaran ini hanya terpakai di masjid dan surau asrama SAHAJA seperti titah perutusan saya terdahulu [MAIPs. 100 – 6 Jld 7 (95)] pada 20 Januari 2021, manaka pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis KEKAL ditangguhkan.
 
ARAHAN PEMATUHAN SEPENUHNYA SOP KESIHATAN DAN KESELAMATAN
 
3. Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat, agar sentiasa mematuhi sepenuhnya SOP kesihatan dan keselamatan seperti memakai pelitup separuh muka, melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 meter, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal, serta melaksanakan penjejakan sosial (imbas MySejahtera / buku) selain disyaratkan sihat tubuh badan, tiada penyakit kronik, tidak bergejala dan tanpa risiko jangkitan.
 
4. Para Jemaah pula hendaklah terdiri dalam kalangan anak kariah sahaja yang berusia antara 15 hingga 59 tahun.
 
LAUNGAN AZAN
 
5. Laungan azan akan dilaksanakan seperti BIASA dan TIDAK perlu menyebut   ( صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu).
 
AKTIVITI BERKUMPULAN DI MASJID
 
6. Aktiviti berkumpulan sama ada kelas, pengajian dan sebagainya selain Solat Jumaat dan Solat Fardu buat masa ini masih tidak dapat dibenarkan. Justeru, gunakanlah kesempatan untuk meneruskan pengajian secara dalam talian / maya antaranya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis. 
 
Saya berhasrat menegaskan bahawa, kita semua perlu memainkan peranan dalam mengekang penularan semula Wabak Covid-19 apatah lagi mengelakkan risiko penyebaran di dalam komuniti. Segala pematuhan SOP yang diamalkan di dalam masjid, haruslah diterjemahkan di luar, dalam urusan seharian. Saya amat yakin bahawa, seluruh rakyat Perlis yang dikasihi, sentiasa matang dan berhikmah dalam sebarang tindakan dan perilaku.
 
Di kesempatan ini, saya turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis kepada seluruh rakyat yang amat Baginda kasihi, agar sentiasa berusaha mengembalikan negeri Perlis yang tercinta kepada status hijau. Baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis senantiasa berdoa kepada Allah SWT agar negeri dan negara ini kekal aman, selamat dan membahagiakan setiap warganya.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
 
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
 
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 28 Januari 2021 bersamaan 15 Jamadil Akhir 1442H
 
Rujukan: MAIPs. 100 - 6 Jld 7 (96)
 

30962e20 b4a0 4473 9559 75c483dc18da87001ff1 3cc5 4115 a646 a4270b5869e8