Mufti Negeri Perlis Terima Kunjungan Delegasi Majlis Tarjih Dan Tajdid Muhammadiyah
Bukit Keteri, 25 November 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis menerima kunjungan delegasi Majlis Tarjih dan Tajdid Pimpinan Pusat Muhammadiyah di Kediaman Mufti Negeri Perlis, malam tadi.
Delegasi tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Ustaz Hamsah, M.Ag., Ketua Majlis Tarjih dan Tajdid Pimpinan Pusat Muhammadiyah, bersama empat orang anggota delegasi yang terdiri daripada barisan kepimpinan serta ahli akademik Muhammadiyah.
Turut hadir Timbalan Mufti Negeri Perlis, SF. Haji Tajul Urus bin Abdul Halim serta pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Pertemuan yang berlangsung pada jam 8.30 malam itu menyaksikan perkongsian pandangan dan pengalaman berkaitan perkembangan ilmu, kefahaman Islam serta usaha memajukan ummah dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Kunjungan ini turut membuka ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan dan mengeratkan hubungan keilmuan, di samping meneroka peluang kerjasama dalam bidang yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.




