Bengkel Pra Perancangan Tahunan Jadi Landasan Perkukuh Prestasi Jabatan Mufti Negeri Perlis Bagi Tahun 2027
KANGAR, 25 November 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mengadakan Bengkel Pra Perancangan Tahunan Jabatan Mufti Negeri Perlis bagi Tahun 2027 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perlis, Kangar, hari ini.
Bengkel yang melibatkan penyertaan semua pegawai dan kakitangan jabatan itu bertujuan meneliti pencapaian semasa, memperkemas perancangan serta menyusun gerak kerja bagi memastikan pelaksanaan program dan aktiviti jabatan pada tahun 2027 berjalan dengan lebih teratur, berkesan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam amanatnya berharap agar setiap bahagian dan seluruh warga jabatan dapat memaksimumkan gerak kerja masing-masing bagi memastikan setiap tugasan dilaksanakan dengan penuh komitmen serta menghasilkan kualiti kerja yang terbaik.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan dan pencapaian Jabatan Mufti Negeri Perlis sepanjang tahun 2026 tidak seharusnya dijadikan titik noktah, sebaliknya perlu menjadi asas dan pemangkin untuk melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan inisiatif serta program-program baharu yang mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan jabatan kepada masyarakat.
Bengkel ini diharapkan dapat menyelaraskan hala tuju dan komitmen seluruh warga Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam merealisasikan perancangan tahun 2027, sekali gus memperkukuh peranan jabatan sebagai institusi yang berwibawa dalam penyampaian ilmu, bimbingan dan khidmat keagamaan kepada masyarakat.




