Mufti Perlis Kongsi Pandangan Mengenai Kelangsungan Perjuangan Dan Semangat Tajdid Muhammadiyah
YOGYAKARTA, 22 November 2026 – Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan Muhammadiyah mempertahankan kelangsungan perjuangannya selama lebih satu abad sejak penubuhannya pada 1912.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan silaturahim kepada Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Haedar Nashir, di SM Tower Malioboro, Yogyakarta, Indonesia, hari ini. Menurut beliau, usaha mengekalkan kesinambungan sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan pengurusan, penilaian dan penambahbaikan secara berterusan.
Beliau turut menekankan kepentingan Muhammadiyah untuk terus menghayati semangat islah dan tajdid yang diasaskan oleh Kiai Haji Ahmad Dahlan, termasuk melaksanakan penilaian terhadap pendekatan dan gerak kerja organisasi agar kekal relevan dengan perkembangan semasa tanpa mengabaikan prinsip perjuangan asal.
Dalam pada itu, beliau mengiktiraf sumbangan besar Muhammadiyah khususnya dalam bidang pendidikan yang bukan sahaja berjaya melahirkan masyarakat berilmu, malah turut membuka peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Beliau juga berpandangan bahawa setiap produk dan inisiatif Muhammadiyah perlu mempunyai identiti tersendiri yang mencerminkan nilai Islam serta semangat pembaharuan.
Beliau berharap Muhammadiyah terus berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas perjuangan, di samping meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran zaman dan memenuhi keperluan umat. Keseimbangan antara mempertahankan prinsip asal dengan keterbukaan terhadap perubahan perlu sentiasa diberikan perhatian agar semangat tajdid terus subur dan relevan sepanjang zaman.




