Memelihara Alam Sekitar Tuntutan Syariat Islam
KANGAR, 13 November 2026 – Umat Islam diseru melaksanakan tanggungjawab memelihara alam sekitar serta menjauhi perbuatan pencemaran kerana tindakan merosakkan alam bertentangan dengan tuntutan syariat Islam.
Menerusi khutbah Jumaat bertajuk "Islam Memelihara Alam Sekitar" hari ini, mimbar menegaskan bahawa tanah, air, udara, tumbuh-tumbuhan dan haiwan merupakan nikmat kurniaan Allah SWT yang wajib dipelihara. Kerosakan alam sekitar akibat tangan manusia bukan sahaja menjejaskan keseimbangan ekosistem, malah mengancam keselamatan dan kesihatan masyarakat.
Bagi membendung kemudaratan ini, mimbar menggariskan lima langkah utama yang perlu diamalkan iaitu larangan membuang sampah ke dalam saliran air bagi mengelakkan banjir kilat, serta larangan membuang bahan toksik dan sisa kilang yang boleh membinasakan hidupan. Selain itu, masyarakat dituntut mengawal penebangan pokok bagi mencegah tanah runtuh, menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan kediaman, serta menjaga kebersihan dan keselamatan jalan raya daripada objek berbahaya.
Dalam pada itu, mimbar menegaskan bahawa hukum mencemarkan alam sekitar sehingga mendatangkan kemudaratan fizikal secara langsung kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah haram, kecuali jika terdapat keperluan mendesak atau maslahah yang lebih besar.
Sementara itu, dalam khutbah kedua, jemaah diingatkan agar menjaga adab di tempat awam dan tidak melepak sehingga menghalang laluan orang ramai. Sekiranya perlu berkumpul di tepi jalan, umat Islam dituntut menunaikan hak jalan seperti menundukkan pandangan, tidak menyakiti orang lain, menjawab salam serta saling berpesan ke arah kebaikan.




