Jabatan Mufti Negeri Perlis Terima Kunjungan Delegasi Awqaf Africa
KANGAR, 5 November 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis menerima kunjungan delegasi Awqaf Africa sempena Africa-Malaysia Sustainable Development & Human Capital Mission yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), hari ini.
Kunjungan ini bertujuan meneroka potensi kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara Afrika, khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi, pendidikan dan pembangunan modal insan. Inisiatif ini turut membuka ruang kepada perkongsian pengalaman serta pengukuhan hubungan antara institusi Islam kedua-dua pihak.
Ketibaan delegasi disusuli dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) UniSIRAJ merangkap Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin. Program diteruskan dengan ucapan daripada wakil Awqaf Africa, diikuti sesi perbincangan yang menyentuh potensi kerjasama antara kedua-dua pihak. Program turut diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderamata.
Turut hadir ialah Naib Canselor UniSIRAJ, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle; barisan pensyarah UniSIRAJ; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis; pegawai-pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta pegawai-pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Kunjungan ini diharapkan dapat menjadi asas kepada jalinan kerjasama strategik yang berterusan dalam memperkasa pembangunan ummah serta memperkukuh hubungan antara Malaysia dengan negara-negara Afrika melalui bidang keagamaan, pendidikan dan pembangunan insan.




