Simposium Guru Agama Dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2026
KANGAR, 3 November 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menganjurkan Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2026 di Dewan Warisan, Kangar, hari ini.
Majlis yang bertemakan “Profesionalisme Guru Agama” itu disempurnakan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang berkenan mengurniakan tauliah mengajar agama Islam kepada penerima yang memenuhi syarat kelayakan setelah melalui proses temu duga oleh Ahli Jawatankuasa Pengawasan dan Pengajaran Negeri Perlis.
Pengurniaan tauliah meliputi Tauliah Umum kepada sembilan orang penerima serta Tauliah Mengajar al-Quran kepada seorang penerima. Secara keseluruhan, seramai 43 orang guru agama menerima tauliah bagi tahun 2026, menjadikan jumlah guru agama bertauliah di Negeri Perlis seramai 717 orang. Majlis turut menyaksikan pelancaran Kad Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis dan Portal e-Tauliah bagi memperkukuh sistem pengurusan tauliah.
Dalam ucapan alu-aluan, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, menekankan kepentingan profesionalisme pendakwah dan guru agama bagi memastikan penyampaian ilmu Islam dilaksanakan secara berkesan, berintegriti dan bersesuaian dengan perkembangan semasa.
Simposium turut menampilkan dua pembentangan, iaitu “Profesionalisme Pendakwah di Era Moden” oleh Ustaz Mohd Shihabuddin bin Md. Yatim dan “Perancangan dan Strategik Dakwah yang Berkesan Masa Kini” oleh Tuan Ahmad Jailani bin Abdul Ghani.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Negeri Perlis, YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri, dif-dif jemputan, peserta simposium serta penerima tauliah.
Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh profesionalisme guru agama, meningkatkan kualiti dakwah dan memantapkan pengurusan tauliah mengajar agama Islam di Negeri Perlis.




