Tiga Kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perlis Terima Watikah Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam 2025/2026
KANGAR, 28 Oktober 2026 – Tiga kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perlis menerima Watikah Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam bagi tahun 2025/2026 dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, pada jam 9.00 pagi ini.
Penerima watikah tersebut ialah Emi Yusmidar binti Md. Yusoff, Abdul Muhaimin bin Mohd Rapingi dan Nur Afiqah binti Rosdi. Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan terhadap peranan penjawat awam dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan bermutu dalam urusan rasmi kerajaan.
Munsyi Muda Bahasa merupakan penjawat awam yang ditauliahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta dilantik oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bagi membantu memartabatkan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam. Antara tanggungjawab yang digalas termasuk menjadi rujukan bahasa, menyemak dokumen dan penerbitan rasmi serta menggerakkan aktiviti pembudayaan bahasa Melayu dalam organisasi.
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Perlis merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga penerima atas kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh. Diharapkan pencapaian ini dapat menyumbang kepada peningkatan mutu penulisan rasmi jabatan, di samping memperkukuh usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran dan bahasa kebangsaan.




