Jabatan Mufti Negeri Perlis Sertai Penyertaan Terbesar Dalam Program Rujukan Kamus Dewan Perdana
KANGAR, 26 Oktober 2026 – Seramai 30 orang kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perlis menyertai Program Rujukan Kamus anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang dilaksanakan secara dalam talian pada hari ini, sempena percubaan Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam Program Rujukan Kamus.
Program yang menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari seluruh Malaysia ini melibatkan aktiviti pencarian perkataan menggunakan Kamus Dewan Perdana sebagai usaha menggalakkan penggunaan sumber rujukan bahasa yang berautoriti serta memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan peserta.
Jabatan Mufti Negeri Perlis turut menyumbang kepada pelaksanaan program ini melalui penglibatan dua orang fasilitator, iaitu Puan Nur Afiqah binti Rosdi dan Encik Abdul Muhaimin bin Mohd Rapingi, yang membantu pelaksanaan aktiviti pencarian perkataan berdasarkan panduan yang ditetapkan.
Program ini memberikan pendedahan kepada peserta tentang penggunaan Kamus Dewan Perdana sebagai sumber rujukan utama bagi memahami makna perkataan, menyemak ketepatan penggunaan bahasa dan memperluas penguasaan bahasa Melayu.
Penyertaan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam inisiatif ini mencerminkan komitmen jabatan untuk membudayakan ilmu, memartabatkan bahasa kebangsaan serta menyokong usaha memperkukuh penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan berkesan dalam urusan rasmi mahupun kehidupan seharian.




