Halaqah Ilmu Perlis Siri 3 Tekankan Penghayatan Ihsan Dalam Kehidupan
KANGAR, 17 Oktober 2026 – Program Halaqah Ilmu Perlis Siri 3 bertemakan Ihsan berlangsung di Masjid Alwi, Perlis, dengan memberi penekanan terhadap kepentingan menghayati nilai ihsan dalam ibadah, pembentukan akhlak serta kehidupan seharian umat Islam.
Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis itu menghimpunkan barisan ilmuwan dan tokoh agama menerusi pelbagai pengisian ilmiah termasuk kuliah, podcast dan forum bagi memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai konsep ihsan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.
Antara pengisian utama ialah Kuliah Subuh bertajuk “Al-Ihsan dalam Ibadah” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya, diikuti kuliah “Kesan Ihsan dalam Kehidupan Mukmin” oleh Dato’ Dr. Abdul Basit Abdul Rahman. Program turut menampilkan kuliah “Penghalang-Penghalang Menggapai Ihsan” oleh Dr. H. Saidul Amin dan “Muhsinin dalam al-Quran” oleh Dr. Abdullah bin Yasin.
Pada sebelah petang, peserta mengikuti kuliah “Ihsan dalam Fekah Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Fahmi Salim. Pengisian diteruskan dengan podcast bertemakan ihsan yang menampilkan Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil dan Ustaz Abdul Kadir bin Sahak sebagai ahli panel, manakala Ustaz Raja Muhd Azman bertindak sebagai moderator.
Program pada sebelah malam diteruskan dengan Kuliah Maghrib Umum yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, sebelum diakhiri dengan Forum Isyak bertajuk “Syariat Dibina atas Ihsan”.
Forum tersebut menampilkan Ustaz Mohd Nazim Bin Mohd Noor, Dr. Muhammad Luthfi bin Mohammad Masruh dan Syeikh Wan Syukri Wan Ismail al-Fathoni sebagai ahli panel, dengan Ustaz Mohd Rizal bin Azizan bertindak sebagai moderator.
Penganjuran program ini menjadi platform kepada masyarakat untuk mendalami ilmu agama serta memahami bahawa ihsan bukan sekadar menuntut kesempurnaan dalam ibadah, malah merangkumi keikhlasan, amanah dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab serta membina hubungan baik sesama manusia.
Penghayatan nilai ihsan dalam kehidupan mampu membentuk peribadi Muslim yang sentiasa berusaha melakukan kebaikan, menjaga akhlak dan melaksanakan setiap amanah dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa mengetahui setiap perbuatan hamba-Nya.
Melalui penganjuran Halaqah Ilmu Perlis Siri 3 ini, masyarakat diharapkan terus menyemarakkan budaya menuntut ilmu serta memperkukuh penghayatan ajaran Islam secara menyeluruh, sekali gus menjadikan ihsan sebagai asas dalam membina kehidupan yang diredai Allah SWT.







