Khutbah Jumaat Seru Umat Islam Menghayati Sifat Ihsan Dalam Kehidupan
KANGAR, 16 Oktober 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis menerusi khutbah Jumaat hari ini mengetengahkan tajuk “Ihsan dan Cara Memperolehinya” bagi mengajak umat Islam memahami, menghayati dan mengamalkan sifat ihsan dalam kehidupan seharian berlandaskan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.
Khutbah tersebut menjelaskan bahawa ihsan ialah beribadah kepada Allah SWT seolah-olah melihat-Nya, dengan menyedari bahawa Allah SWT sentiasa melihat setiap hamba-Nya. Sifat ini bukan sahaja menuntut kesempurnaan dalam beribadah, malah merangkumi amalan kebaikan terhadap sesama manusia dan seluruh makhluk.
Antara cara memperoleh sifat ihsan ialah melaksanakan ibadah dengan penuh keikhlasan, penghayatan dan kecintaan kepada Allah SWT serta sentiasa menyedari pengawasan-Nya dalam setiap keadaan. Kesedaran ini dapat membentuk peribadi Muslim yang lebih berhati-hati dalam pertuturan dan perbuatan, sama ada ketika bersama orang lain mahupun ketika bersendirian.
Selain itu, umat Islam turut diseru agar berbuat baik kepada ibu bapa, ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat, di samping menjaga kebajikan haiwan serta mengelakkan sebarang bentuk kezaliman terhadap makhluk Allah SWT. Sifat ihsan juga hendaklah diterapkan dalam institusi keluarga dengan mendidik anak-anak supaya mengenal Allah SWT, menjaga solat, melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Khutbah tersebut turut menegaskan bahawa ihsan bukan sekadar diucapkan melalui lidah, sebaliknya perlu dihayati dalam hati dan dibuktikan melalui amalan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195, yang bermaksud: “Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah mencintai orang yang berbuat baik,” menjadi peringatan bahawa amalan ihsan merupakan tuntutan agama yang perlu diterjemahkan dalam setiap aspek kehidupan.
Sehubungan dengan itu, umat Islam diseru agar terus memperbaiki mutu ibadah, memperkukuh akhlak dan membudayakan kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat. Penghayatan sifat ihsan diharapkan dapat melahirkan individu yang ikhlas, bertanggungjawab dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan kerana menyedari bahawa Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala perbuatan hamba-Nya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Mufti Negeri Perlis turut mengajak orang ramai menghadiri Program Halaqah Ilmu Perlis Siri Ketiga yang akan berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober 2026, bermula selepas solat Subuh hingga selepas solat Isyak di Masjid Alwi, Kangar, Perlis. Bertemakan “Ihsan”, program ini diharapkan menjadi wadah untuk memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai konsep ihsan berdasarkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.







