DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Berangkat Menyempurnakan Perasmian Wacana Ilmuwan Nusantara

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Berangkat Menyempurnakan Perasmian Wacana Ilmuwan Nusantara

KANGAR, 14 Oktober 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Wacana Ilmuwan Nusantara sempena Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ke-4/2026 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, malam ini.

Wacana bertemakan “Keluasan Fiqah dalam Menangani Cabaran Semasa” itu menghimpunkan ilmuwan Islam dari rantau Nusantara bagi membincangkan keluasan fiqah Islam dalam mendepani pelbagai persoalan dan cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam.

Wacana yang bermula pada jam 8.00 malam itu menampilkan barisan panel ilmuwan dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Singapura. Antara panel yang terlibat ialah Dato’ Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman, Dato’ Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya, Ustaz Fahmi Salim, Profesor Dr. Syamsul Anwar, Syeikh Wan Syukri Wan Ismail al-Fathoni, Ustaz Thanh Hong atau Dr. Basiron, Dr. Hosen Mohamad Farid dan Ustaz Nur Hakim.

Majlis dimulakan dengan ucaptama oleh Sahibus Samahah Dato' Arif Perkasa Professor Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin Mufti Negeri Perlis, sebelum diteruskan dengan titah perasmian oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis. Acara turut diserikan dengan simbolik perasmian serta pengurniaan sijil penghargaan kepada para delegasi persidangan.

Penganjuran wacana ini menjadi platform perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan dalam kalangan ilmuwan Islam bagi memperluas kefahaman mengenai fiqah serta penerapannya dalam menangani isu-isu semasa. Penyertaan ilmuwan dari pelbagai negara turut membuka ruang kepada perkongsian perspektif dan pengalaman, sekali gus memperkukuh hubungan keilmuan Islam di rantau Nusantara.

Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Ke-4/2026 berlangsung selama dua hari di Perlis dengan matlamat menjadi wadah penyelarasan isu-isu semasa berkaitan Islam dan umat Islam di rantau Nusantara. Persidangan ini turut berperanan memperkukuh kerjasama ilmiah dalam kalangan ilmuwan bagi mencari pendekatan yang bersesuaian untuk mendepani cabaran semasa.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 270
Semalam 1790
Minggu Ini 7675
Bulan Ini 35096

Keseluruhan 3992576

   Masa Capaian : 1.01 saat    Kemaskini :  15/10/2026