Mufti Negeri Perlis Sambut Ketibaan Delegasi Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) 2026
KANGAR, 13 Oktober 2026 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mengadakan majlis makan malam di Hotel Seri Malaysia Kangar, Perlis, bagi menyambut ketibaan delegasi Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) sempena penganjuran Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Ke-4 dan Wacana Ilmuwan Nusantara Tahun 2026 yang berlangsung pada 14 hingga 15 Oktober 2026.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan kehadiran para delegasi serta mengeratkan hubungan antara ilmuwan Nusantara dan wakil agensi agama yang hadir bagi menjayakan program berkenaan.
Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis turut hadir bagi mengalu-alukan kehadiran para ilmuwan ke Negeri Perlis dan berharap penganjuran MIN kali ini dapat menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan, bertukar pandangan serta menyemarakkan perkongsian ilmu dalam kalangan ilmuwan Islam di rantau Nusantara.
Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Ke-4 Tahun 2026 mengangkat tema “Keluasan Fiqah dalam Menangani Cabaran Semasa”, yang menekankan kepentingan memahami keluasan dan fleksibiliti fiqah dalam mendepani pelbagai isu semasa yang melibatkan umat Islam. Penganjuran ini turut bertujuan menjadi wadah penyelarasan isu-isu semasa di Nusantara yang berkaitan dengan Islam dan umat Islam, sekali gus membuka ruang perbincangan serta pertukaran pandangan dalam kalangan ilmuwan bagi mencari pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Antara ilmuwan yang hadir ialah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle, Dato’ Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman, Ustaz Fahmi Salim dari Indonesia, Prof. Dr. Syamsul Anwar dari Indonesia, Syeikh Wan Syukri Wan Ismail al-Fathoni dari Thailand, Ustaz Thanh Hong dari Vietnam, Dr. Hosen Mohamad Farid dari Kemboja serta Ustaz Nur Hakim dari Singapura.
Turut hadir ialah Sahibus Fadhilah Timbalan Mufti Negeri Perlis dan pegawai-pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis. Kehadiran para ilmuwan dari pelbagai negara ini mencerminkan semangat persaudaraan dan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan keilmuan Islam di rantau Nusantara.
Penganjuran Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Ke-4 dan Wacana Ilmuwan Nusantara Tahun 2026 diharap dapat memperluas wacana ilmiah, menyuburkan budaya dialog dan perkongsian ilmu serta memperkukuh kerjasama antara ilmuwan Islam dalam menangani cabaran semasa demi kemaslahatan ummah.







