Khutbah Jumaat Seru Umat Islam Semarakkan Amalan Wakaf

Khutbah Jumaat Seru Umat Islam Semarakkan Amalan Wakaf

PERLIS, 2 Oktober 2026 (Jumaat) – Jabatan Mufti Negeri Perlis menerusi khutbah Jumaat pada hari ini mengajak umat Islam agar mengambil peluang berwakaf sebagai salah satu bentuk amal kebajikan yang manfaatnya dapat terus dirasai oleh masyarakat serta menjadi bekalan pahala yang berterusan.

Khutbah bertajuk “Wakaf dan Kelebihannya” menjelaskan bahawa wakaf ialah harta yang ditahan hak pewakaf daripada urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat, dengan mengekalkan sumber fizikalnya untuk tujuan kebajikan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wakaf juga merupakan salah satu bentuk infak yang dilakukan dengan mengharapkan keredaan Allah SWT.

Menurut khutbah tersebut, umat Islam boleh berwakaf mengikut kemampuan masing-masing dengan syarat harta yang diwakafkan diperoleh melalui sumber yang halal, manakala penggunaannya hendaklah menepati tujuan yang dibenarkan oleh syarak. Antara kelebihan wakaf ialah mengekalkan harta untuk kebajikan, menjadikannya sebagai sedekah jariah, membantu golongan yang memerlukan serta memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Khutbah turut menekankan bahawa manfaat wakaf boleh terus dinikmati oleh masyarakat selagi harta tersebut dijaga dan dimanfaatkan mengikut tujuan yang dibenarkan syarak. Antaranya melalui tanah, bangunan, kedai atau kemudahan yang digunakan untuk tujuan kebajikan. Wakaf juga termasuk dalam amalan sedekah yang manfaatnya boleh berterusan selepas seseorang meninggal dunia.

Selain itu, wakaf berperanan membantu golongan yang memerlukan apabila manfaat harta tersebut disalurkan kepada golongan fakir, kaum kerabat, orang yang dalam perjalanan, tetamu dan pelbagai tujuan kebajikan. Khutbah turut memberikan contoh tanah yang dimanfaatkan untuk pendidikan, bangunan sebagai tempat ibadah dan kedai wakaf yang menjana pendapatan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Dalam konteks Negeri Perlis, umat Islam yang ingin mewakafkan tanah atau bangunan disarankan menyalurkannya melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk diuruskan sebagai harta wakaf kerana MAIPs merupakan pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri ini. Umat Islam juga boleh menyertai Wakaf Tunai MAIPs mengikut kemampuan masing-masing.

Sehubungan itu, umat Islam diseru agar menjadikan sebahagian daripada harta yang diamanahkan Allah SWT sebagai bekalan pahala yang terus mengalir dan manfaat yang terus dirasai oleh manusia, dengan melaksanakan wakaf secara ikhlas, menggunakan harta yang halal serta mematuhi syarat dan ketetapan syarak.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1161
Semalam 2011
Minggu Ini 11843
Bulan Ini 4915

Keseluruhan 3962395

   Masa Capaian : 1.09 saat    Kemaskini :  02/10/2026