Seminar Falak Perkasa Pemahaman Ilmu Falak Dan Isu Semasa
KANGAR, 30 Sept — Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs) menganjurkan Seminar Falak Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 bagi memperkukuh pemahaman masyarakat dan pihak berkepentingan mengenai ilmu falak serta isu-isu semasa berkaitan bidang berkenaan.
Seminar yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini, bermula 8 pagi itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi dan pihak berkaitan.
Program dimulakan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk “Takwim Imkanur Rukyah dan Takwim Global Hijri: Antara Realiti Astronomi dan Pelaksanaannya Masa Kini” yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Zambri bin Zainuddin, Pensyarah Universiti Malaya (UM) dan Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Seminar diteruskan dengan Diskusi Falak bertajuk “Isu-Isu Falak” yang menampilkan YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Zambri bin Zainuddin dan YBhg. Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, Pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang juga Panel Pakar Falak JAKIM.
Diskusi itu dipengerusikan oleh YBhg. Sr. Dr. Ashraf bin Abdullah, Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau.
Seminar turut menampilkan sesi ucaptama bertajuk “Prosedur Pengisytiharan Puasa dan Hari Raya di Malaysia” yang disampaikan oleh YBhg. Dr. Mustafa Din bin Subari, Panel Pakar Falak JAKIM.
Majlis perasmian seminar disempurnakan oleh Sahibus Samahah SS Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, yang turut melancarkan Sijil Perakuan Arah Kiblat Negeri Perlis.
Pada majlis sama, SS Dato’ Mufti turut menyampaikan sijil perakuan arah kiblat kepada wakil tiga premis yang terpilih.
Penganjuran seminar berkenaan merupakan antara usaha Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam memperkukuh kefahaman mengenai ilmu falak, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bidang berkenaan dalam kehidupan umat Islam, khususnya dalam perkara berkaitan penentuan takwim Islam, rukyah dan arah kiblat.







