Raja Muda Perlis Lancar Buku Khutbah Nikah Negeri Perlis
KANGAR, 24 Ogos 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, berkenan melancarkan Buku Khutbah Nikah Negeri Perlis sempena Multaqa Pegawai dan Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Perlis Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, hari ini.
Penerbitan buku ini merupakan satu usaha menyediakan panduan dan bahan rujukan khususnya kepada Juru Nikah Negeri Perlis dalam melaksanakan penyampaian khutbah nikah sebelum berlangsungnya akad perkahwinan. Kandungan yang disusun diharapkan dapat membantu memastikan khutbah nikah disampaikan secara lebih tersusun, jelas dan selaras dengan panduan syarak.
Turut dilancarkan bersama ialah Buku Garis Panduan Tanah Perkuburan Islam Negeri Perlis dan Buku Prosedur Operasi Standard Bahagian Pengurusan Masjid, sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan bahan rujukan yang lebih tersusun dan praktikal kepada pihak-pihak berkaitan.
Penerbitan ketiga-tiga buku ini diharapkan dapat membantu memperkemas pengurusan institusi masjid, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan tugas Juru Nikah serta memperkukuh penyampaian panduan agama kepada masyarakat, selaras dengan keperluan semasa dan usaha Jabatan Mufti Negeri Perlis bersama agensi agama negeri dalam memperkasakan kefahaman Islam di Negeri Perlis.







