Halaqah Ilmu Perlis Siri 2: Tawakal dan Pengharapan Kukuhkan Kefahaman Umat Islam
KANGAR, 22 Ogos – Jabatan Mufti Negeri Perlis meneruskan penganjuran Halaqah Ilmu Perlis Siri 2 bertemakan "Tawakal dan Pengharapan" bagi mengukuhkan kefahaman masyarakat mengenai konsep tawakal dan pengharapan kepada Allah SWT, di samping menekankan keseimbangan antara ikhtiar dan pergantungan kepada-Nya.
Program yang diadakan di Masjid Alwi, Kangar itu menghimpunkan para ilmuwan dan asatizah dalam beberapa sesi pengisian ilmu bermula pagi hingga malam, merangkumi ceramah bertajuk Tawakal dalam Akidah Islam oleh Sheikh Wan Syukri bin Wan Ismail Al-Fathoni, Pengharapan (Al-Raja') dalam Akidah Islam oleh Prof. Dr. Muhamad Rozami Ramle, serta Antara Tawakal dan Ikhtiar oleh Dr. Salman Ali.
Slot seterusnya adalah Tawakal dan Pengharapan oleh Sheikh Ahmad Omar Ba Najah, diikuti pengisian bertajuk Fadilat Tawakal dan Pengharapan oleh Maulana Fakhrurrazi Abd Rahman.
Program ini diteruskan dengan sesi podcast "Bahaya Putus Asa dalam Kehidupan" yang menampilkan ustaz Raja Muhd Azman bin Haji Raja Azam sebagai moderator, dan 3 org panel iaitu Ustaz Mohd Nazim bin Mohd Noor, Ustaz Mohd Kadir bin Sahak dan Ustaz Mohd Rizal bin Azizan.
Kemuncak program ialah Kuliah Maghrib Umum oleh Sahibus Samahah Prof. Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, sebelum diakhiri dengan Forum Isyak bertajuk "Tawakal dan Pengharapan dalam Dakwah ke Jalan Allah", membariskan Prof. Dr. Muhamad Rozami Ramle, Dr. Salman Ali dan Sheikh Wan Syukri Wan Ismail Al-Fathoni sebagai ahli panel.
Penganjuran Halaqah Ilmu Perlis Siri 2 diharapkan dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat bahawa tawakal bukan bermaksud meninggalkan usaha, sebaliknya menyerahkan hasil kepada Allah SWT selepas berikhtiar sedaya upaya.







