Kursus Falak Syarie Bersama Anggota PDRM
PADANG BESAR, 11 Ogos - Jabatan Mufti Negeri Perlis telah dijemput untuk menyampaikan perkongsian ilmu dalam Kursus Falak Syarie Bersama Anggota PDRM yang berlangsung di Surau Al-Taqwa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, hari ini.
Kursus yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu melibatkan anggota IPD Padang Besar, Perlis sebagai peserta.
Perkongsian ilmu falak syarie disampaikan oleh Ustaz Mohd Jais Anuar bin Ahmad, Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak dan Pengajaran, Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Kursus tersebut bertujuan memberikan pendedahan dan meningkatkan kefahaman para peserta mengenai ilmu falak syarie serta kaitannya dengan pelaksanaan ibadah umat Islam.
Antara pengisian utama program ialah penerangan mengenai kaedah penentuan arah kiblat yang tepat, penggunaan kaedah dan teknologi dalam semakan arah kiblat serta kepentingan memastikan ketepatan arah kiblat dan waktu solat.
Program bertemakan “Ilmu Falak, Panduan Umat” ini turut menjadi medium untuk memperkukuh kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyebarluaskan ilmu berkaitan falak syarie kepada warga pasukan keselamatan.







