Jabatan Mufti Perlis Ingatkan Umat Islam Jangan Mudah Pilih Perceraian
KANGAR, 7 Ogos -Jabatan Mufti Negeri Perlis hari ini menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar memandang serius institusi kekeluargaan dan tidak menjadikan perceraian sebagai langkah pertama apabila berhadapan dengan konflik rumah tangga.
Menerusi teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan hari ini bertajuk "Jangan Mudah Memilih Perceraian", pihak jabatan menekankan bahawa perkahwinan merupakan satu ikatan suci yang perlu dipertahankan berasaskan iman, kasih sayang, dan tanggungjawab bersama.
"Islam mengajar bahawa rumah tangga bukan sekadar tempat memenuhi keperluan hidup, malah ia adalah medan ibadah dan asas kepada masyarakat yang sejahtera," menurut khutbah tersebut.
Dalam usaha mengekang peningkatan kadar perceraian, Jabatan Mufti Perlis menggariskan lima pendekatan utama yang perlu diamalkan pasangan suami isteri. Antaranya adalah memperkukuh ketakwaan kepada Allah SWT sebagai benteng menghadapi ujian, mengamalkan sikap bertolak ansur, serta bijak mengawal emosi dan pertuturan agar tidak melukakan hati pasangan.
Selain itu, pasangan turut digalakkan untuk mencari jalan perdamaian dengan bantuan orang tengah yang amanah sekiranya berlaku perselisihan serius, sebelum mengambil keputusan muktamad untuk berpisah.
Khutbah tersebut turut menegaskan bahawa perceraian, walaupun diharuskan dalam Islam sebagai jalan terakhir apabila hubungan tidak lagi dapat diselamatkan, ia tidak seharusnya dilakukan secara terburu-buru tanpa usaha islah (pemulihan) terlebih dahulu.
Khatib turut mengingatkan para lelaki supaya mengutamakan nilai agama dan akhlak dalam memilih pasangan hidup, serta mengajak para isteri untuk terus berusaha menjadi pendamping solehah yang menyumbang kepada ketenangan keluarga.







