Program Soal Jawab Bersama Mufti Perlis Memperkukuhkan Kefahaman Agama
KANGAR, 7 Ogos – Program Soal Jawab Bersama Mufti Perlis 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Zam Zam, Kompleks Kastam Kangar, menghimpunkan warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perlis bagi mendapatkan penjelasan dalam pelbagai isu.
Program anjuran BAKISKA Cawangan Perlis dengan kerjasama Unit Latihan JKDM Negeri Perlis itu menampilkan Sahibus Samahah Profesor Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, sebagai penceramah utama.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Berusaha Tuan Muhammad Furiman bin Hattar, Pengarah Kastam Negeri Perlis, bersama Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Cawangan, Pegawai-Pegawai Kanan serta Pegawai-Pegawai Kastam yang memenuhi dewan bagi mengikuti sesi perkongsian ilmu tersebut.
Program yang membawa tema "Mencari Jawapan, Mendapat Hidayah" memberi ruang kepada para peserta mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan akidah, ibadah, muamalat serta isu-isu semasa yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
Dalam penyampaiannya, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis menekankan kepentingan umat Islam merujuk kepada sumber yang sahih berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berautoriti bagi mengelakkan kekeliruan dalam memahami hukum-hakam agama.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai platform memperkukuhkan kefahaman Islam dalam kalangan warga perkhidmatan awam, di samping menyemarakkan budaya ilmu dan membina masyarakat yang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan dalam menjalankan amanah serta tanggungjawab.







