Diskusi Syariah Fatwa Perkahwinan Perkukuh Kefahaman Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Perlis
PERLIS, 6 Ogos – Sahibus Samahah Profesor Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, telah menyampaikan ucaptama dalam Program Diskusi Syariah: Fatwa Perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) bagi memperkukuh kefahaman Penolong-Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis mengenai fatwa serta pelaksanaan hukum-hakam berkaitan perkahwinan.
Dalam ucaptamanya di The Kitchen Studio Event Space, beliau mengupas pelbagai isu semasa berkaitan fatwa perkahwinan serta menegaskan bahawa setiap urusan akad nikah hendaklah dilaksanakan berlandaskan al-Quran, al-Sunnah dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Perlis. Beliau turut mengingatkan bahawa Penolong Pendaftar Perkahwinan memikul amanah besar dalam memastikan setiap perkahwinan diuruskan secara sah, telus dan menepati kehendak syarak demi memelihara maslahat institusi kekeluargaan Islam.
Sebelum sesi ucaptama, program dimulakan dengan pembentangan bertajuk "Kedudukan Wali Secara Umum" oleh Ustaz Ahmad Sirajuddin bin Abdul Satar, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, yang menghuraikan konsep wali, syarat-syarat kelayakan serta peranannya dalam akad nikah menurut hukum syarak.
Program diteruskan dengan sesi diskusi bertajuk "Kedudukan Anak Lelaki Sebagai Wali Ibu Dalam Perkahwinan" yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak, Pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Tuan Izizam bin Ibrahim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis merangkap EXCO Hal Ehwal Agama, yang telah menyempurnakan ucapan perasmian penutup.
Program diakhiri dengan sesi interaksi bersama para peserta yang memberi peluang kepada Penolong-Penolong Pendaftar Perkahwinan mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai pelbagai isu berkaitan fatwa dan pengurusan perkahwinan Islam, sekali gus memperkukuh penyelarasan pelaksanaan hukum syarak di Negeri Perlis.







