Delegasi Pemerintah Kabupaten Siak Adakan Kunjungan Rasmi Ke Perlis
KANGAR, 4 Ogos – Jabatan Mufti Negeri Perlis Negeri telah menerima kunjungan rasmi Delegasi Pemerintah Kabupaten Siak, Provinsi Riau, Indonesia dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta memperluaskan kerjasama strategik khususnya dalam bidang pentadbiran, pendidikan, pembangunan masyarakat dan pelancongan.
Delegasi tersebut diketuai oleh Wakil Bupati Siak, YBhg. Tuan Syamsurizal, S.Ag., M.Si, bersama beberapa pegawai kanan Pemerintah Kabupaten Siak yang terdiri daripada wakil pentadbiran daerah, Yayasan Sentra Islami, Majelis Ulama Indonesia (MUI) Kabupaten Siak serta Dinas Pendidikan Kabupaten Siak.
Program rasmi dimulakan dengan Majlis Pertemuan dan Taklimat Bersama Agensi Agama Islam Negeri Perlis yang berlangsung di Bilik Gerakan Persekutuan, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Sesi tersebut menghimpunkan pembentangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs), Yayasan Islam Perlis (YIPs) serta taklimat mengenai sektor pelancongan negeri. Melalui sesi perkongsian tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan demi mendapatkan input yang terbaik dan berkesan.
Delegasi kemudiannya meneruskan lawatan ke Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi menghadiri sesi pembentangan, taklimat dan perbincangan berkaitan potensi kerjasama akademik antara kedua-dua pihak.
Pada sebelah petang, rombongan turut mengadakan kunjungan ke Jabatan Pertanian Negeri Perlis bagi mengikuti taklimat berkaitan pembangunan sektor pertanian sebelum dibawa melawat beberapa lokasi menarik di sekitar Negeri Perlis.
Terdahulu, delegasi Pemerintah Kabupaten Siak telah menghadiri majlis makan malam atas jemputan Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis di kediaman beliau, Teduhan Doa, Bukit Keteri. Dalam majlis tersebut, para delegasi turut diberi taklimat ringkas oleh beberapa usahawan muda Perlis mengenai produk dan perusahaan masing-masing sebagai pendedahan kepada potensi keusahawanan negeri ini.
Kunjungan rasmi ini diharap menjadi titik tolak kepada pengukuhan hubungan antara Negeri Perlis dan Kabupaten Siak melalui jaringan kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang, demi memberikan manfaat kepada masyarakat di kedua-dua wilayah.







