Dua kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perlis Dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis
ARAU, 30 Julai – Jabatan Mufti Negeri Perlis merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada dua orang warganya yang telah dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis Tahun 2026 dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis yang berlangsung di Istana Arau, hari ini.
Penerima anugerah tersebut ialah Puan Suhaiza Binti Suhaimi, Setiausaha Pejabat, dan Encik Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani, Pegawai Hal Ehwal Islam.
Pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) merupakan satu pengiktirafan terhadap jasa, komitmen serta sumbangan cemerlang yang telah diberikan oleh penerima dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam perkhidmatan awam serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Jabatan Mufti Negeri Perlis menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pengiktirafan yang diterima oleh kedua-dua pegawai tersebut. Semoga pengurniaan ini menjadi pemangkin kepada kedua-dua penerima untuk terus menabur bakti dengan penuh dedikasi serta memperkukuh komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik demi agama, bangsa, negeri dan negara.







