Halaqah Ilmu Perlis Siri 1 Himpunkan Tokoh Ilmuwan, Angkat Tema Keikhlasan
KANGAR, 27 Julai – Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berjaya menganjurkan Halaqah Ilmu Perlis Siri 1 bertemakan "Ikhlas" di Masjid Alwi, Kangar, Perlis yang berlangsung pada 25 Julai 2026.
Program yang berlangsung dari awal pagi hingga malam itu menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan tempatan dan antarabangsa bagi mengupas konsep keikhlasan sebagai asas penting dalam setiap amalan serta membentuk keperibadian Muslim yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Pengisian dimulakan dengan Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Dr. Zakir Naik, diikuti beberapa sesi kuliah yang menyentuh pelbagai aspek keikhlasan. Antara penceramah yang menyampaikan kuliah ialah Dato' Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Hasyimi Che Pa, Ustaz Dr. Muamar Ma'ruf dan Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.
Selain siri kuliah, program turut diserikan dengan sesi podcast bertajuk "Ikhlas dan Media Sosial" yang dikendalikan oleh Saudara Marcellus Mourine bersama panel jemputan, membincangkan cabaran memelihara keikhlasan dalam era media digital.
Pada sebelah malam, para peserta mengikuti Kuliah Maghrib Umum yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Profesor Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, sebelum diteruskan dengan Forum Isyak bertajuk "Amalan Meneguhkan Ikhlas" yang menampilkan Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Dato' Dr. Abdul Basit Abdul Rahman dan Ustaz Dr. Muamar Ma'ruf sebagai panel, manakala Ustaz Mohd Rizal Azizan bertindak sebagai moderator.
Penganjuran Halaqah Ilmu Perlis Siri 1 mencerminkan komitmen Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam memperkasakan budaya ilmu dan dakwah melalui penyampaian pengajian yang berteraskan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah. Program ini turut menjadi platform mempertemukan masyarakat dengan para ilmuwan bagi memperkukuh kefahaman agama, menyemai nilai keikhlasan dalam setiap amalan serta menggalakkan penghayatan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan seharian.







