Khutbah Perlis Seru Umat Islam Hayati Keikhlasan Dalam Setiap Amalan

Khutbah Perlis Seru Umat Islam Hayati Keikhlasan Dalam Setiap Amalan

KANGAR, 24 Julai - Umat Islam diseru menjadikan keikhlasan sebagai asas dalam setiap ibadah dan urusan kehidupan kerana hanya amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT akan diterima serta dikurniakan ganjaran di sisi-Nya.

Seruan itu dizahirkan menerusi khutbah Jumaat bertajuk "Ikhlas dan Kelebihannya" yang disampaikan di seluruh masjid di Negeri Perlis hari ini, yang menegaskan bahawa ikhlas bermaksud memurnikan niat dalam setiap amalan tanpa mengharapkan pujian, sanjungan, kedudukan, ganjaran dunia atau kepentingan diri, sebaliknya hanya mengharapkan keredaan Allah SWT.

Khutbah itu menjelaskan bahawa keikhlasan merupakan syarat utama penerimaan sesuatu amalan di sisi Allah SWT. Justeru, setiap Muslim disaran sentiasa memperbaharui niat agar segala ibadah, pekerjaan, pengorbanan dan kebajikan dilakukan dengan penuh keikhlasan demi memperoleh keredaan Allah SWT.

Menurut khutbah berkenaan, keikhlasan turut menjadi sebab seseorang memperoleh ganjaran pahala yang besar, pertolongan serta perlindungan Allah SWT daripada godaan syaitan, selain menjadi faktor keselamatan daripada azab neraka. Pada masa yang sama, umat Islam diingatkan supaya menjauhi sifat riak kerana ia boleh menghapuskan pahala amalan dan termasuk dalam syirik kecil.

Khutbah itu turut mengingatkan bahawa keikhlasan menjadikan seseorang istiqamah melakukan kebaikan walaupun tanpa pujian atau penghargaan manusia, kerana penilaian Allah SWT lebih utama daripada penilaian manusia. Sehubungan itu, umat Islam diseru sentiasa bermuhasabah dan memperbetulkan niat sebelum, semasa dan selepas melaksanakan setiap amalan agar segala usaha yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.

Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Perlis akan menganjurkan Program Halaqah Ilmu Perlis Siri Pertama pada Sabtu, 25 Julai ini di Masjid Alwi, Kangar, bertemakan "Ikhlas" bagi memperkukuhkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan keikhlasan dalam kehidupan seorang Muslim serta membimbing mereka memperbaiki niat dalam setiap amalan.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 394
Semalam 2157
Minggu Ini 12367
Bulan Ini 71207

Keseluruhan 3814836

   Masa Capaian : 0.98 saat    Kemaskini :  24/7/2026