Mufti Perlis Kupas Fiqh al-Dawlah al-Qaradhawi dalam Pembentukan Negara MADANI
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Pemikiran Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengenai Fiqh al-Dawlah perlu difahami dalam kerangka pembinaan negara yang berteraskan nilai Islam, keadilan dan tadbir urus yang baik, demikian ditegaskan Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Beliau berkata demikian menerusi ucaptama bertajuk “Fiqh al-Dawlah di Sisi al-Qaradhawi dan Peranannya dalam Pembentukan Negara MADANI” dalam Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradhawi 2026 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.
Seminar anjuran Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta Dewan Bahasa dan Pustaka itu menghimpunkan tokoh ilmuwan, pemimpin negara, mufti dan cendekiawan Islam bagi membincangkan legasi pemikiran ulama tersohor dunia tersebut dalam menghadapi cabaran semasa umat Islam.
Majlis pada sebelah pagi diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menyampaikan Titah Ucaptama Diraja, serta keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Seminar kemudiannya diteruskan dengan majlis perasmian oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada sebelah petang.
Selain ucaptama Mufti Perlis, seminar turut menampilkan pembentangan berkaitan Fiqh al-Muwatanah, Maqasid al-Shari‘ah, Fiqh al-Jihad serta ketokohan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagai figura sastera.
Turut diadakan forum “Pemikiran al-Qaradhawi dalam Pembinaan Negara MADANI” yang menampilkan Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Dr. Haji Zaharudin Abd. Rahman sebagai ahli panel dengan Encik Amin Idris bertindak sebagai moderator.
Penganjuran seminar ini menjadi wadah memperkukuh wacana keilmuan Islam di negara ini.







