Mufti Perlis: Warisan Al‑Maturidi Asas Penyatuan Umat Islam Mendepani Cabaran Global
TASHKENT, 10 Julai – Mufti Perlis, Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan warisan keilmuan Imam Abu Mansur al‑Maturidi berteraskan kesederhanaan, toleransi dan keluasan ilmu perlu dihayati sebagai asas penyatuan umat, dan bukannya dijadikan punca perpecahan atas nama perbezaan mazhab.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Sesi Pleno II bertajuk ‘The Study of Imam Maturidi and the Maturidi School in the Contemporary World’ sempena First International Islamic Civilisation Forum: The Path of Peace, Tolerance and Enlightenment yang berlangsung di Uzbekistan dari 7 hingga 11 Julai 2026, menghimpunkan lebih 300 sarjana dan pemimpin agama dari lebih 50 negara.
Beliau menekankan legasi Imam al‑Maturidi mengajar keteguhan akidah disertai keterbukaan fikiran, manakala nama beliau dan Imam al‑Ash’ari tidak wajar disalahgunakan untuk mengangkat kelompok tertentu sehingga menimbulkan permusuhan. Perbezaan dalam ijtihad dan istilah akademik adalah sebahagian kekayaan intelektual Islam yang perlu dihormati, bukan dijadikan alasan memutuskan persaudaraan.
Merujuk hadis sahih, beliau menegaskan sesiapa menghadap kiblat sama dan memakan sembelihan umat Islam adalah saudara seagama, justeru haram melabel orang lain sesat, menyeleweng atau mengeluarkannya daripada Islam semata‑mata atas perbezaan perkara cabang.
Menurut beliau, kelemahan umat hari ini bukan berpunca daripada kekurangan ibadah, sebaliknya pengabaian ilmu, membesarkan perkara kecil dan lalai terhadap cabaran besar — keadaan yang membuka ruang pihak luar memecahbelahkan umat, sedangkan kepelbagaian pandangan ulama dahulu sebenarnya adalah kekuatan Islam.
Prof. Dato’ Dr. Mohd Asri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Uzbekistan di bawah Presiden Shavkat Mirziyoyev atas usaha menghidupkan kembali warisan intelektual Islam khususnya legasi Imam al‑Maturidi yang berasal dari Samarkand, sambil menyifatkannya sebagai langkah wajar disokong dan dicontohi.
Beliau menegaskan kepelbagaian mazhab dan pandangan ulama bukan kelemahan, sebaliknya kekayaan intelektual yang memberi keluasan menghadapi perubahan zaman, serta perlu dijadikan asas mengukuhkan kesatuan dan ketahanan umat mendepani cabaran global termasuk Islamofobia.
Forum itu dianjurkan bersama oleh Pusat Tamadun Islam Uzbekistan, Pusat Penyelidikan Ilmiah Antarabangsa Imam Maturidi, ICESCO serta institusi ilmu lain, dengan CNN sebagai rakan kongsi media utama.







