Majlis Apresiasi Pentadbiran Perlis 2026: Dua Pegawai Jabatan Mufti Terima APC
KANGAR, 30 Jun 2026 – Majlis Apresiasi Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis Tahun 2026 telah berlangsung hari ini di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, sebagai platform pengiktirafan tertinggi kepada penjawat awam yang menunjukkan prestasi luar biasa dalam perkhidmatan.
Majlis ini turut menjadi wadah penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2025 di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
Acara tersebut disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, serta dihadiri oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), ketua-ketua jabatan, serta warga kerja daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Anugerah ini merupakan manifestasi penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam yang telah mempamerkan disiplin tinggi, komitmen berterusan, serta kecemerlangan dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Bagi Jabatan Mufti Negeri Perlis, dua orang pegawai telah terpilih menerima APC Tahun 2025 tersebut, iaitu Ustaz Mohamad Faisal bin Ramli daripada Bahagian Falak dan Pengajaran serta Ustaz Mahadzir bin Mohmad daripada Bahagian Fatwa.
Pihak pengurusan Jabatan Mufti Negeri Perlis merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua penerima atas dedikasi yang dicurahkan. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga jabatan untuk terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti serta berintegriti demi kemajuan agama dan masyarakat di Negeri Perlis.







