Khutbah Perlis Seru Pelihara Amanah Dana Awam, Tolak Penyelewengan
Kangar, 26 Jun – Jabatan Mufti Negeri Perlis menyeru masyarakat, khususnya mereka yang mengurus dana awam, supaya memelihara amanah serta menjauhi rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Semua ini ditegaskan sebagai dosa besar di sisi Islam.
Dalam khutbah Jumaat bertajuk Dana Awam: Amanah Besar Dalam Islam, dijelaskan bahawa dana awam meliputi hasil cukai, zakat, peruntukan kerajaan dan dana kebajikan. Ia wajib diuruskan dengan jujur dan bertanggungjawab, semata-mata demi kepentingan rakyat.
Antara langkah yang digariskan bagi mengelakkan penyelewengan ialah memperkukuh sifat amanah, sentiasa jujur dalam hal kewangan, sentiasa ingat akan hisab di akhirat, menolak rasuah, serta pastikan setiap urusan dijalankan dengan teliti dan berintegriti.
Setiap harta yang diamanahkan akan dipersoalkan kelak di Hari Kiamat, justeru ia perlukan pengurusan yang ikhlas dan penuh integriti. Umat Islam juga diseru memegang amanah dalam setiap aspek kehidupan sama ada urusan keluarga, pekerjaan mahupun organisasi agar keberkatan, kemajuan dan kebajikan bersama sentiasa terpelihara.
Sementara itu dalam khutbah kedua, orang ramai diajak menyertai pengajian ilmu agama percuma anjuran Unit Institut Sunnah dan Irsyad (ISNAD). Program bermula 30 Jun 2026 di Centre of Sunnah, Wisma MAIPs, Kangar ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat.







