Halaqah Ilmu Perlis Dilancarkan, Perkukuh Budaya Ilmu Berteraskan Al-Quran, Al-Sunnah

Halaqah Ilmu Perlis Dilancarkan, Perkukuh Budaya Ilmu Berteraskan Al-Quran, Al-Sunnah

Kangar,18 JUN-Jabatan Mufti Negeri Perlis melancarkan program baharu, Halaqah Ilmu Perlis, sebagai inisiatif memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan masyarakat menerusi pengajian berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis, sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis di sini, hari ini.

Halaqah Ilmu Perlis merupakan program keilmuan sehari penuh  yang bermula seawal selepas solat Subuh sehingga selepas Isyak. Program ini bakal menampilkan tujuh halaqah pengajian yang merangkumi pelbagai bidang ilmu Islam.

Program tersebut diwujudkan sebagai platform untuk memperluas kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam yang sahih, di samping menggalakkan penghayatan ilmu secara berterusan dalam kehidupan seharian.

Selain memberi penekanan kepada aspek penguasaan ilmu, program ini turut membawa aspirasi pembentukan sahsiah Muslim yang unggul melalui proses tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) yang berpandukan manhaj al-Quran dan al-Sunnah.

Pelaksanaan program ini juga selaras dengan usaha berterusan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam memperkasakan pendidikan Islam serta menyemarakkan budaya menuntut ilmu, sekali gus melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

Ia dijangka menjadi antara platform utama penyebaran ilmu yang menghimpunkan masyarakat dalam suasana pembelajaran, penghayatan dan pengukuhan kefahaman agama secara konsisten di negeri ini.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 854
Semalam 5222
Minggu Ini 15514
Bulan Ini 39843

Keseluruhan 3707266

   Masa Capaian : 1.01 saat    Kemaskini :  18/6/2026