Forum Perdana Maal Hijrah 1448H/2026M Semarakkan Semangat Hijrah
Kangar, 18 Jun 2026 – SambutanForum Perdana Maal Hijrah 1448h/2026m Semarakkan Semangat Hijrah disemarakkan lagi dengan penganjuran Forum Perdana Maal Hijrah 1448H/2026M bertemakan “Hijrah Minda, Membina Ummah Madani” yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, hari ini.
Majlis penuh bermakna tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Raja Perlis. Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan kepimpinan negeri serta masyarakat setempat.
Forum berkenaan menampilkan Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, dan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle sebagai ahli panel. Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim bin Haji Mohd Noor bertindak sebagai moderator.
Perbincangan forum memberi fokus kepada penghayatan semangat hijrah sebagai pemangkin perubahan diri, pengukuhan akhlak, serta pembinaan masyarakat yang berilmu dan berintegriti selaras dengan petunuk Allah dan Rasul-Nya.
Penganjuran forum ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai nilai-nilai hijrah, sekali gus memperkukuh perpaduan ummah ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan diredai Allah SWT.







