Belia Beriman dan Kuat Jadi Tonggak Masa Depan Umat

Belia Beriman dan Kuat Jadi Tonggak Masa Depan Umat

KANGAR, 29 Mei – Jabatan Mufti Perlis dalam khutbah Jumaat hari ini menegaskan bahawa golongan belia yang beriman, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri yang kukuh merupakan aset penting dalam membina masa depan umat Islam yang cemerlang.

Khutbah bertajuk “Belia Yang Beriman dan Kuat Dicintai Allah” itu menyeru golongan muda agar menjadikan Islam sebagai panduan hidup serta menjauhi pengaruh budaya negatif dan gejala maksiat yang semakin mencabar pada era moden.

Menurut khutbah tersebut, Islam amat menitikberatkan kekuatan dalam diri seorang Muslim, bukan sahaja dari sudut fizikal, malah meliputi kekuatan iman, ilmu, akhlak dan keteguhan prinsip dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Khutbah itu turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah.” Hadis tersebut menjadi asas bahawa kekuatan diri serta keteguhan pegangan agama merupakan antara ciri utama yang dicintai Allah SWT.

Selain itu, para belia diingatkan supaya sentiasa memelihara ibadah, khususnya solat, serta istiqamah dalam melakukan kebaikan walaupun berdepan pelbagai godaan dunia. Golongan muda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah SWT dijanjikan kedudukan istimewa di sisi-Nya.

Dalam khutbah berkenaan, lima perkara utama turut digariskan bagi membentuk belia Muslim yang unggul, iaitu memantapkan akidah, membina akhlak mulia, menguasai ilmu dan kemahiran, prihatin terhadap masyarakat serta mengambil iktibar daripada pengalaman hidup dan sejarah umat terdahulu.

Khutbah itu juga menegaskan bahawa belia Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu agama dan kemahiran profesional dalam pelbagai bidang seperti teknologi, perniagaan, kejuruteraan dan perubatan bagi memastikan umat Islam terus maju, berdaya saing dan dihormati.

Di samping itu, golongan muda diseru agar peka terhadap isu sosial dan keadaan umat Islam semasa serta memainkan peranan dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing.
 
Khutbah berkenaan turut mengingatkan bahawa usia muda merupakan peluang terbaik untuk beribadah, menuntut ilmu dan berbakti kepada masyarakat sebelum datangnya usia tua.
 
Pada khutbah kedua, para jemaah turut diingatkan mengenai keistimewaan hari-hari Tasyrik sebagai waktu untuk memperbanyakkan zikir, takbir, tahmid dan mensyukuri nikmat Allah SWT.
Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 2231
Semalam 2444
Minggu Ini 12938
Bulan Ini 52936

Keseluruhan 3662976

   Masa Capaian : 0.99 saat    Kemaskini :  29/5/2026