Khutbah Aidiladha Tekankan Pengorbanan Sebagai Teras Kemajuan Umat Islam

Khutbah Aidiladha Tekankan Pengorbanan Sebagai Teras Kemajuan Umat Islam

KANGAR, 27 Mei – Semangat pengorbanan yang dizahirkan melalui sambutan Aidiladha perlu dijadikan asas dalam membina umat Islam yang kuat, berilmu dan dihormati, demikian penegasan Jabatan Mufti Negeri Perlis menerusi khutbah khas Hari Raya Aidiladha 1447H. Khutbah bertajuk “Aidiladha: Pengorbanan Memajukan Umat Islam”.

Khutbah ini  menekankan bahawa Aidiladha bukan sekadar ibadah korban dan sambutan perayaan tahunan, sebaliknya merupakan medan tarbiah yang mendidik umat Islam tentang nilai ketaatan, kesatuan serta kesanggupan berkorban demi agama. 

Menurut khutbah tersebut, umat Islam perlu mencontohi Nabi Ibrahim AS yang menjadi lambang keteguhan iman dan kepatuhan mutlak kepada Allah SWT walaupun berhadapan pelbagai ujian dan tentangan. Keteguhan baginda dalam mempertahankan tauhid disifatkan sebagai contoh terbaik dalam membina kekuatan umat Islam pada hari ini. 

Khutbah itu turut mengingatkan bahawa kemunduran umat Islam bukan berpunca daripada kekurangan sumber, sebaliknya akibat kelemahan pegangan agama, perpecahan serta pengabaian terhadap asas-asas kekuatan Islam. 

Sehubungan itu, empat perkara utama digariskan sebagai teras kebangkitan umat Islam iaitu memperkukuhkan akidah, memartabatkan ilmu, membina generasi muda berakhlak serta memperkukuh ekonomi umat. 

Dalam aspek pendidikan dan ilmu, umat Islam diseru supaya tidak hanya menumpukan kepada ilmu agama semata-mata, bahkan turut menguasai bidang strategik seperti teknologi, ekonomi, perubatan dan pendidikan agar kembali menjadi umat yang memimpin. Khutbah itu menegaskan bahawa sejarah kegemilangan umat Islam terdahulu terbina hasil penguasaan ilmu dan hikmah. 

Selain itu, pembinaan generasi muda yang beriman dan berakhlak turut diberi perhatian serius. Keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah, hiburan melampau dan pengaruh budaya negatif dilihat sebagai ancaman besar terhadap masa depan umat Islam jika tidak ditangani dengan pendidikan agama dan pembentukan akhlak yang baik sejak kecil.

Khutbah berkenaan turut menekankan kepentingan kekuatan ekonomi sebagai antara faktor yang menentukan maruah dan kemandirian umat Islam. Islam mengajar umatnya mencari rezeki halal melalui usaha sendiri, mengamalkan sifat amanah dalam pekerjaan serta menjauhi riba, penipuan dan pembaziran. 
 
Dalam khutbah kedua pula, umat Islam diingatkan agar menghidupkan hari-hari Tasyrik dengan memperbanyakkan zikir, takbir, tahmid serta amal soleh sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.
Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 72
Semalam 2444
Minggu Ini 10779
Bulan Ini 50777

Keseluruhan 3660817

   Masa Capaian : 0.97 saat    Kemaskini :  28/5/2026