Jabatan Mufti Perlis Anjur Majlis Cerapan Rukyah Hilal, Forum “Falsafah Korban”

Jabatan Mufti Perlis Anjur Majlis Cerapan Rukyah Hilal, Forum “Falsafah Korban”

KANGAR, 17 Mei 2026 – Pengumuman rasmi menetapkan 1 Zulhijjah 1447H bermula pada 18 Mei 2026 dibuat bersempena Majlis Cerapan Rukyah Hilal Zulhijjah 1447H/2026M yang berlangsung di Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis malam ini.

Majlis anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis itu menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UNISIRAJ) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Perlis, Naib Canselor UNISIRAJ serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs.

Selain cerapan rukyah hilal, program turut diisi dengan forum khas bertajuk “Falsafah Korban” yang berlangsung selepas solat Maghrib.

Forum berkenaan menampilkan Pengasas Multiracial Reverted Muslims dan Portal The Merdeka Times, Brother Firdaus Wong Wai Hung serta Ahli Jawatankuasa Pengawasan dan Pengajaran Negeri Perlis, Ustaz Mohamad Adnin Yahya sebagai panel.

Sementara itu, forum berkenaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wisdom Outreach Centre, Marcellus Mourine selaku moderator.

Cerapan rukyah hilal merupakan antara usaha penting dalam penentuan awal bulan Islam khususnya bagi ibadah utama seperti Aidiladha dan ibadah korban yang amat berkait rapat dengan bulan Zulhijjah.

Program berkenaan turut menjadi medium memperkukuhkan kefahaman masyarakat mengenai penghayatan ibadah korban di samping meningkatkan kesedaran terhadap ilmu falak syarie serta kaedah penentuan takwim Islam yang dilaksanakan secara rasmi oleh pihak berautoriti di negara ini.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 713
Semalam 1685
Minggu Ini 2398
Bulan Ini 27562

Keseluruhan 3637602

   Masa Capaian : 1.42 saat    Kemaskini :  19/5/2026