Khutbah “Rakyat Disayangi, Pemerintah Dihormati” Tekankan Hubungan Harmoni Demi Kesejahteraan Negeri
KANGAR, 15 Mei – Jabatan Mufti Negeri Perlis menerusi khutbah Jumaat hari ini menegaskan bahawa hubungan harmoni antara rakyat dan pemerintah merupakan asas penting dalam menjamin keamanan, kestabilan serta kesejahteraan sesebuah negeri.
Khutbah bertajuk “Rakyat Disayangi, Pemerintah Dihormati” itu menjelaskan bahawa Islam mengajar umatnya membina hubungan atas dasar iman, keadilan, kasih sayang dan saling menghormati, bukannya permusuhan serta kebencian.
Menurut teks khutbah tersebut, Islam menganjurkan rakyat dan pemerintah supaya saling bekerjasama dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, berlaku adil serta menjaga adab ketika menyampaikan nasihat demi memelihara keharmonian masyarakat.
Khutbah itu turut mengingatkan umat Islam agar menjaga lisan daripada ucapan yang boleh mencetuskan perpecahan dan menjejaskan kestabilan negeri, sebaliknya mengutamakan kata-kata yang baik serta doa demi kesejahteraan bersama.
Dalam masa sama, rakyat Perlis diajak menzahirkan rasa syukur atas nikmat keamanan dan kestabilan negeri di bawah naungan Raja Pemerintah Perlis yang memelihara agama serta berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Khutbah berkenaan diterbitkan sempena ulang tahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis ke-83 pada 17 Mei ini dengan mengajak rakyat menghargai jasa dan pengorbanan pemerintah kepada negeri dan rakyat.
Selain itu, khutbah kedua turut mengingatkan umat Islam mengenai kelebihan sepuluh hari pertama Zulhijjah yang bakal tiba serta menggalakkan umat memperbanyakkan amal soleh seperti zikir, membaca al-Quran, berpuasa, bersedekah dan berdoa.







