Khutbah Jumaat Perlis Seru Umat Islam Hayati Pengajaran Kisah Nabi Ibrahim, Waspada Penipuan Badal Haji

Khutbah Jumaat Perlis Seru Umat Islam Hayati Pengajaran Kisah Nabi Ibrahim, Waspada Penipuan Badal Haji

KANGAR, 8 Mei — Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam khutbah Jumaat hari ini menyeru umat Islam agar menghayati pengajaran besar daripada kisah Nabi Ibrahim AS sebagai panduan membentuk keimanan, keteguhan akidah dan kekuatan institusi keluarga Islam.

Khutbah bertajuk “Ibrah Daripada Kisah Nabi Ibrahim” itu menekankan bahawa kisah para nabi yang dirakamkan dalam al-Quran bukan sekadar sejarah, sebaliknya mengandungi pengajaran mendalam yang mampu membentuk akhlak serta memperkukuh hubungan manusia dengan Allah SWT.

Antara pengajaran utama yang diketengahkan ialah kepentingan keikhlasan dalam beramal, sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS ketika membina Kaabah sambil memohon agar amalan mereka diterima Allah SWT.

Khutbah turut mengingatkan umat Islam mengenai tanggungjawab ibu bapa dalam membina generasi yang berpegang teguh kepada akidah dan ajaran Islam melalui doa, pendidikan serta contoh teladan yang baik dalam kehidupan seharian.

Selain itu, umat Islam diseru menjadikan Nabi Ibrahim AS dan para nabi sebagai contoh terbaik dalam aspek tauhid, kesabaran serta ketaatan kepada perintah Allah SWT, khususnya dalam menghadapi cabaran kehidupan moden yang semakin mencabar nilai dan pegangan agama.

Khutbah juga menegaskan bahawa warisan paling bernilai yang perlu ditinggalkan kepada generasi akan datang ialah tauhid dan keimanan, bukan semata-mata harta dunia.

Dalam khutbah kedua, para jemaah turut diingatkan mengenai kelebihan bulan Zulhijjah yang bakal tiba serta galakan untuk menyegerakan ibadah haji bagi mereka yang berkemampuan.

Pada masa sama, khutbah tersebut turut mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati terhadap penipuan dan pengkomersialan badal haji yang bercanggah dengan ketetapan Fatwa Negeri Perlis.

Jabatan Mufti Negeri Perlis turut menyeru umat Islam agar terus memperkukuh hubungan dengan al-Quran dan sunnah serta mencontohi kesolehan para nabi dalam usaha membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan diredai Allah SWT.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 939
Semalam 1250
Minggu Ini 5464
Bulan Ini 7510

Keseluruhan 3617550

   Masa Capaian : 0.98 saat    Kemaskini :  08/5/2026