Perkampungan Sunnah Siri 11 Terima Kunjungan Timbalan Menteri Agama
KANGAR, 26 April — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli, mengadakan kunjungan ke Perkampungan Sunnah Siri 11/2026 yang berlangsung di Masjid Alwi, di sini, hari ini.
Kehadiran beliau dilihat sebagai isyarat sokongan berterusan kerajaan terhadap inisiatif dakwah berteraskan ilmu dan penghayatan sunnah, khususnya dalam memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat.
Dalam lawatan tersebut, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, sekali gus menyampaikan salam daripada YB Senator Dr. Zulkifli Hasan kepada pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Beliau turut meluangkan masa menyantuni para peserta dan sukarelawan yang terlibat sepanjang program tiga hari itu, selain meninjau reruai pameran yang disediakan, termasuk reruai Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Program berkenaan turut dilihat sebagai platform mendekatkan masyarakat dengan pengisian ilmiah secara santai dan berstruktur, selain menggalakkan penyertaan aktif golongan muda dalam aktiviti berunsur dakwah dan pendidikan.
Sebagai tanda penghargaan, pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis turut menyampaikan cenderamata berupa buku-buku terbitan jabatan kepada beliau.
Perkampungan Sunnah Siri 11 yang berlangsung dari 24 hingga 26 April 2026 menghimpunkan puluhan penceramah dari dalam dan luar negara serta pelbagai pengisian ilmiah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan luar Perlis.







