Amalan Zikir Konsisten Beri Kesan Positif Dalam Pembentukan Personaliti - Raja Perlis

Amalan Zikir Konsisten Beri Kesan Positif Dalam Pembentukan Personaliti - Raja Perlis

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah amalan zikir yang konsisten mampu memberi kesan positif dalam pembentukan personaliti yang membawa kepada ketenangan dalam kehidupan.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah zikir adalah nadi yang sentiasa menghidupkan jiwa manusia agar menjadi hamba Allah yang taat dan memperoleh ketenangan dalam kehidupan harian.

"Zikir adalah ingatan dan pergantungan kita kepada Allah SWT sama ada dengan tautan jantung hati, sebutan lisan dan amal ibadah. Semua ini menjadi tanda dan bukti perhambaan manusia kepada Allah SWT yang mendambakan reda dan perlindungan dari-Nya. Manusia yang sentiasa mengingati Allah SWT akan memperolehi ketenangan dan lebih teratur dalam urusan kehidupan hariannya.

"Tanpa zikrullah iaitu ingatan kepada Allah maka manusia akan hanyut dalam kehidupan tanpa pautan dan panduan yang jelas dalam hidup. Jika pun seorang itu memperoleh seluruh habuan dunia, tanpa zikrullah dia akan rasa habuan itu tidak cukup untuk kepuasan hatinya," titah baginda ketika berkenan menutup program Perkampungan Sunnah Siri Ke-11 di pekarangan Masjid Alwi di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah setiap manusia juga perlu mengambil berat tentang pentingnya memilih zikir yang ditunjukkan Rasulullah SAW dalam kehidupan.

Raja Perlis bertitah sebaik-baik zikir dan kaifiatnya, tidak ada yang lebih baik daripada apa yang diajar Rasulullah SAW dan amat mendukacitakan apabila sebahagian daripada umat Islam tidak mengambil berat tentang peninggalan Rasulullah SAW dalam berzikir.

"Begitu banyak zikir yang warid daripada Rasulullah SAW, namun sebahagian manusia lebih suka memilih zikir yang tiada sandaran sahih kepada Baginda.

Amat merugikan jika zikir lain yang kita utamakan berbanding zikir yang ditinggalkan kepada kita oleh Rasulullah SAW sedangkan kita sering mendakwa cinta kepada Baginda dan Sunnahnya," titah Raja Perlis.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah dalam mengetengahkan sunnah berzikir, pelbagai inisiatif dilaksanakan Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), termasuk menerbitkan risalah panduan zikir seperti "Himpunan Zikir Harian dan Zikir Selepas Solat".

"Bahkan Kempen Perlis Berzikir telah dilancarkan sejak 2021 dan penganjuran program berkaitan kepentingan zikir dan sunnahnya masih berjalan hingga ke hari ini," titah Tuanku Syed Sirajuddin.

Perkampungan Sunnah yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas bertemakan "Zikrullah: Menghidupkan Sunnah, Mendapatkan Fadhilah" itu, menghimpunkan lebih 40 tokoh ilmuwan dari dalam dan luar negara serta menarik kira-kira 4,000 pengunjung, dengan pelbagai pengisian termasuk kuliah, forum ilmiah dan halaqah khas wanita.

Sumber : BERNAMA

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1
Semalam 1217
Minggu Ini 1218
Bulan Ini 34910

Keseluruhan 3606478

   Masa Capaian : 1.40 saat    Kemaskini :  27/4/2026