Editor Maktabah
Jumlah paparan: 8
Akhlak di Jalan Raya Cerminan Iman, Tegas Khutbah Jumaat di Perlis
Editor Maktabah
Jumlah paparan: 8
Editor Maktabah
Jumlah paparan: 8
Kangar, 10 April 2026 — Akhlak ketika memandu di jalan raya merupakan cerminan tahap keimanan seseorang Muslim, tegas khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis hari ini.
Khutbah bertajuk “Menjaga Akhlak di Jalan Raya” itu menekankan bahawa jalan raya bukan sekadar laluan perjalanan, sebaliknya medan ujian akhlak yang menuntut kesabaran, disiplin dan kawalan emosi.
Dalam khutbah tersebut, umat Islam diingatkan bahawa setiap pemandu memikul amanah besar kerana kecuaian kecil seperti memandu secara berbahaya, melanggar lampu isyarat atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh mengundang kemalangan dan meragut nyawa.
Justeru, sebarang perbuatan yang membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain adalah ditegah dalam Islam.
Khutbah turut menegaskan bahawa sikap agresif di jalan raya termasuk memotong secara berbahaya, membunyikan hon tanpa keperluan dan mengeluarkan kata-kata kesat mencerminkan akhlak yang buruk, walaupun seseorang itu dilihat taat dalam ibadah.
Selain itu, khutbah berkenaan merujuk kepada keputusan fatwa Negeri Perlis yang mewajibkan setiap pengguna jalan raya mematuhi undang-undang bagi mengelakkan kemalangan.Sekiranya berlaku kemalangan akibat kecuaian, pihak yang bersalah bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku, termasuk kemungkinan dikenakan diyat dan kafarah sekiranya melibatkan kehilangan nyawa.
Khutbah itu turut menyeru agar setiap perjalanan dijadikan sebagai ibadah dengan mengamalkan sikap sabar, memberi laluan kepada pengguna lain, mematuhi had laju serta mengawal emosi ketika memandu.
Jemaah juga diingatkan supaya sentiasa mengingati Allah SWT dengan membaca doa ketika menaiki kenderaan sebagai tanda pergantungan kepada-Nya.







