Islam Ajar Umat Berjimat Cermat Hadapi Cabaran Ekonomi Semasa

Islam Ajar Umat Berjimat Cermat Hadapi Cabaran Ekonomi Semasa

KANGAR, 3 April 2026 – Umat Islam diseru mengamalkan sikap berjimat cermat sebagai satu tuntutan agama dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar ketika ini.

Menerusi khutbah Jumaat bertajuk “Islam Mengajar Berjimat Cermat” yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis, umat Islam diingatkan bahawa pengurusan harta secara bijak bukan sekadar amalan harian, malah mencerminkan tahap keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Khutbah tersebut menekankan bahawa krisis bekalan tenaga dunia serta kenaikan harga petrol dan diesel akibat konflik di Timur Tengah telah memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup, sekali gus menuntut masyarakat agar lebih berhemah dalam perbelanjaan.

Menurut khutbah yang disampaikan, Islam melarang keras pembaziran dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang menyerupai sifat syaitan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 27.

Sehubungan itu, beberapa langkah praktikal digariskan kepada umat Islam, antaranya mengutamakan keperluan asas berbanding kehendak, mengelakkan pembaziran makanan dan minuman, serta merancang perbelanjaan dengan teliti. Selain itu, sikap bersyukur dan merasa cukup (qana‘ah) turut ditekankan bagi mengelakkan kecenderungan berbelanja secara berlebihan.

Khutbah  turut mengingatkan bahawa penggunaan sumber tenaga seperti elektrik dan bahan api perlu dilakukan secara berhemah, kerana pembaziran bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah turut menjejaskan ekonomi negara.

Dalam masa sama, umat Islam diingatkan agar sentiasa menunaikan hak harta seperti membantu golongan memerlukan serta menjauhi pembaziran dalam apa jua keadaan. Amalan berjimat cermat bukan sahaja membantu menstabilkan kewangan individu dan keluarga, malah menjadi persediaan penting dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 841
Semalam 1079
Minggu Ini 3295
Bulan Ini 10155

Keseluruhan 3581723

   Masa Capaian : 1.19 saat    Kemaskini :  03/4/2026