Khutbah Aidilfitri Seru Umat Islam Kembalikan Kemuliaan Ummah

Khutbah Aidilfitri Seru Umat Islam Kembalikan Kemuliaan Ummah

KANGAR, 1 Syawal — Khutbah khas Hari Raya Aidilfitri hari ini menyeru umat Islam mengembalikan kemuliaan ummah melalui pegangan teguh ajaran Islam serta pengukuhan keimanan dan jati diri.  

Khutbah bertajuk “Membina Kemuliaan Ummah” terbitan Jabatan Mufti Perlis menegaskan Aidilfitri bukan sekadar hari kemenangan pasca-Ramadan, tetapi medan muhasabah menilai sejauh mana ibadah sepanjang bulan itu mendekatkan diri kepada Allah SWT.  

Khutbah turut menekankan, kemuliaan sejati dalam Islam tidak terletak pada keangkuhan atau kedudukan duniawi, sebaliknya bersumberkan kekuatan jiwa dan pergantungan mutlak kepada Allah. Sifat ini menjadikan mukmin berani menegakkan kebenaran walau berdepan cabaran.  

Ia turut mengimbau kegemilangan sejarah umat Islam membina tamadun unggul hasil akidah kukuh serta misi membebaskan manusia daripada pengabdian sesama makhluk kepada pengabdian terhadap Allah SWT.  

Namun, umat Islam hari ini dilanda krisis kehilangan kemuliaan apabila sebahagiannya mencari kekuatan melalui sumber bukan Islam seperti kekayaan, budaya atau pengaruh luar. Situasi itu menyebabkan umat lemah dan mudah ditindas.  

Khutbah itu juga mengingatkan bahaya penyakit al-wahn (cinta dunia dan takut mati) yang melemahkan umat serta menghilangkan rasa gerun musuh terhadap mereka.  

Justeru, umat Islam diseru kembali ke landasan sebenar mencapai kemuliaan dengan memperkukuh keimanan, membebaskan diri daripada rasa hina terhadap kebatilan   serta memainkan peranan aktif dalam menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.  

Perpaduan umat Islam juga ditegaskan sebagai kunci menghadapi cabaran dan ancaman terhadap agama serta masa depan ummah.  

Khutbah ditutup dengan seruan agar umat Islam tidak berputus asa, sebaliknya menjadikan keadaan semasa tanggungjawab bersama mengembalikan kegemilangan Islam berpandukan al-Quran dan sunnah.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 159
Semalam 1506
Minggu Ini 159
Bulan Ini 24488

Keseluruhan 3691911

   Masa Capaian : 1.04 saat    Kemaskini :  12/6/2026