Khutbah Jumaat Tekankan Kepentingan Istiqamah Selepas Ramadan

Khutbah Jumaat Tekankan Kepentingan Istiqamah Selepas Ramadan

Kangar, 20 Mac – Khutbah Jumaat hari ini menekankan kepentingan umat Islam terus beristiqamah dalam beribadah selepas berakhirnya Ramadan, bulan yang digambarkan sebagai madrasah tarbiah pembentuk keimanan dan ketakwaan. Dalam khutbah bertajuk “Istiqamah Setelah Ramadan” terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis, umat Islam diingatkan bahawa cabaran sebenar bukan hanya pada kesungguhan beribadah sepanjang Ramadan, tetapi kemampuan mengekalkan amalan tersebut secara berterusan selepasnya.  

Khutbah menjelaskan istiqamah sebagai tanda keimanan kukuh, selaras firman Allah SWT dalam Surah Fussilat ayat 30, yang menjanjikan ketenangan dan khabar gembira kepada mereka yang tetap teguh di jalan-Nya.

Antara teras penekanan ialah konsisten menunaikan solat fardu lima waktu sebagai tiang agama dan benteng kemungkaran. Umat Islam juga digesa terus membaca dan menghayati al-Quran selepas Ramadan kerana kitab suci itu panduan hidup utama. Amalan soleh walau sedikit perlu dilazimi bertepatan sabda Rasulullah SAW yang menyatakan, amalan paling dicintai Allah ialah yang berterusan walau sedikit. Taubat dan istighfar pula menjadi kunci kekal menghampirkan diri kepada Allah SWT.  

Khutbah turut menggalakkan umat Islam menghidupkan puasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis serta puasa sunat enam hari Syawal yang berganjaran besar. Ditegaskan bahawa kejayaan Ramadan sebenar bukan diukur semata-mata melalui ibadah sebulan, tetapi kemampuan mengekalkan momentum ibadah sepanjang tahun. 

Penutup khutbah menyeru umat Islam menjadikan Ramadan sebagai pembuka ruang perubahan berterusan menuju kehidupan berkat dan diredai Allah SWT.
Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 151
Semalam 1506
Minggu Ini 151
Bulan Ini 24480

Keseluruhan 3691903

   Masa Capaian : 0.96 saat    Kemaskini :  12/6/2026