Mufti Perlis Sampaikan Tausiyah Sempena Program Raudatul Iktikaf Di Masjid Alwi

Mufti Perlis Sampaikan Tausiyah Sempena Program Raudatul Iktikaf Di Masjid Alwi

KANGAR, 12 Mac 2026 – Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, telah menyampaikan tausiyah sempena Program Raudatul Iktikaf yang berlangsung di Masjid Alwi, Kangar, malam tadi.

Program yang diadakan bersempena bulan Ramadan ini menjadi antara pengisian kerohanian bagi mengimarahkan masjid melalui majlis ilmu serta amalan ibadah pada malam Ramadan.

Dalam tausiyah yang disampaikan, beliau mengupas peringatan-peringatan tentang kehidupan akhirat yang banyak disebut dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia agar sentiasa mengingati tujuan sebenar kehidupan. Menurut beliau, ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang hari kebangkitan, perhitungan amalan, syurga dan neraka merupakan peringatan penting supaya manusia sentiasa memperbaiki diri serta meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT.

Beliau turut menegaskan bahawa bulan Ramadan merupakan waktu yang sangat sesuai untuk umat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan membaca dan mentadabbur al-Quran, memperbanyakkan ibadah serta melakukan muhasabah diri.

Program Raudatul Iktikaf tersebut turut menghimpunkan para jemaah yang hadir bagi menghidupkan malam Ramadan dengan pengisian ilmu dan ibadah di Masjid Alwi.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus menyemarakkan budaya mengimarahkan masjid serta mendorong masyarakat untuk memanfaatkan bulan Ramadan dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1112
Semalam 2136
Minggu Ini 10587
Bulan Ini 21330

Keseluruhan 3631370

   Masa Capaian : 1.16 saat    Kemaskini :  15/5/2026