Majlis Buka Puasa Bersama Masyarakat Majmuk Perkukuh Keharmonian Di Perlis
KANGAR, 12 Mac 2026 – Suasana penuh muhibah dan keharmonian mewarnai penganjuran Majlis Buka Puasa Bersama Masyarakat Majmuk yang berlangsung di Masjid Alwi, Kangar pada petang Khamis.
Program yang diadakan bersempena bulan Ramadan ini menghimpunkan masyarakat Islam dan bukan Islam dalam satu majlis yang bertujuan memupuk persefahaman serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Antara pengisian utama program ialah Forum Harmoni bertajuk “Malaysia Madani: Mengurus Perbezaan, Membina Perpaduan” yang menampilkan panel terdiri daripada Tuan Shah Kirit Kakulal Govindji, Presiden Global Unity Network, Dr. Balachandran Gopal Krishnan, Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Terengganu dan Dr. Tan Chan Sin, Pengerusi Perlis Buddhist Society.
Forum tersebut membincangkan kepentingan mengurus perbezaan agama dan budaya secara bijaksana serta membina hubungan harmoni dalam masyarakat majmuk melalui dialog, saling memahami dan sikap saling menghormati.
Program kemudiannya diteruskan dengan Dialog Bersama Mufti Perlis, SS Prof Dato' Arif Perkasa Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin, yang memberi peluang kepada para peserta, khususnya masyarakat bukan Islam, untuk mendengar penjelasan secara langsung berkaitan Islam serta mengemukakan soalan dalam suasana yang terbuka dan penuh hormat.
Sesi dialog ini dipandu oleh Marcellus Mourine, Ketua Pegawai Eksekutif Wisdom Outreach Centre sebagai moderator.
Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh hubungan antara agama serta memupuk budaya dialog yang matang dalam masyarakat.







